Najib hilang keistimewaan bekas PM jika rayuan ditolak

Najib hilang keistimewaan bekas PM jika rayuan ditolak

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja hilang kelayakan sebagai ahli parlimen, malah tidak meneri­ma keistimewaan sebagai bekas Perdana Menteri jika gagal dalam rayuan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn. Bhd.

Selain itu, Ahli Parlimen Pekan itu tidak boleh bertanding dan terlibat politik untuk tempoh lima tahun selepas bebas dari penjara atau dalam erti kata lain, beliau hanya boleh bertanding selepas 17 tahun dengan mengambil kira hukuman penjara 12 tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bagaimanapun berkata, beliau boleh menikmati semula pencen dan bertan­ding pilihan raya jika mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya,, Najib hilang keisti­mewaan sebagai bekas Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pekan sekiranya Mahkamah Persekutuan menolak rayuan dan mengekalkan hukuman serta sabitan seperti diputuskan sebelum ini.

Katanya, Mahkamah Perseku­tuan merupakan platform terakhir untuk bekas Perdana Menteri itu mengemukakan ra­yuan dan tiada saluran lain untuk berbuat demikian jika rayuan akhirnya ditolak.

“Namun, segala-galanya ber­gantung kepada keputusan Mah­kamah Persekutuan sama ada ingin menerima atau menolak rayuan. Tetapi jika sabit serta-merta, segala kelayakan beliau tergugur termasuk sebagai Ahli Parlimen Pekan dan tidak boleh bertanding dalam tempoh lima selepas keluar penjara.

“Melainkan beliau dapat pen­gampunan diraja seperti mana berlaku kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau bebas daripada semua rekod kesalahan dan penjara, akhirnya boleh terlibat dalam politik serta bertanding pilihan raya dengan serta-merta,” katanya.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan sama ada ingin menolak atau menerima rayuan Najib terhadap sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap di atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah penyelewengan RM42 juta dana milik SRC.

Dalam pada itu, Mohamed Haniff Khatri menjelaskan, Mahkamah Persekutuan tidak boleh menangguhkan sebarang hukuman dan sabitan meskipun pesalah ingin mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana badan kehakiman itu tidak terlibat dalam proses berkenaan.

Katanya, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesa­lahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Proses pengampunan diraja antara pesalah dengan Lembaga Pengampunan dan tidak mempunyai kaitan dengan mahkamah,” katanya.

Seorang lagi pengamal undang-undang, Mior Nor Haidir berkata, Najib bakal kehilangan pencen bekas Perdana Menteri seperti mana dijelaskan dalam Seksyen 14 (1) Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 jika rayuan akhirnya menemui titik noktah.

Katanya, undang-undang itu menjelaskan mana-mana individu yang hilang kelayakan sekiranya disabitkan bersalah dan dihukum penjara lebih 12 bulan atau denda lebih RM2,000 oleh mahkamah.

“Namun Ia akan dikembali­kan semula apabila sabitan ter­sebut dibatalkan Yang di-Pertuan Agong seperti dijelaskan dalam Seksyen 14 (1) Jadual Pertama Akta Saraan Ahli Parlimen 1980,” katanya.

Sementara itu, Mior Nor Hai­dir menegaskan, melafazkan sumpah laknat Najib di Masjid Kampung Baru tidak boleh dipakai untuk sebarang rayuan mahkamah sekiranya bekas Per­dana Menteri ingin menggunakan perkara itu sebagai hujah mahkamah.

Katanya, hal ini kerana hanya keterangan bersumpah di dalam mahkamah semasa prosiding sahaja boleh diterima pakai.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melafazkan sumpah laknat bagi menafikan pembabitannya berhubung kes penyelewe­ngan dana SRC dan tidak pernah mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana seba­nyak RM42 juta itu, datangnya daripada syarikat itu secara langsung atau tidak, sehingga kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×