Mujur banjir waktu siang - penduduk - Utusan Malaysia

Mujur banjir waktu siang – penduduk

PENDUDUK membersihkan rumah dan harta benda mereka yang musnah selepas dilanda banjir kilat di Kampung Teluk Sanau, Baling semalam. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Banjir kilat yang melanda sembilan buah kampung di Mukim Baling, di sini memberi amaran awal kepada penduduk sekitar untuk lebih berjaga-jaga terutama menjelang musim Monsun Timur Laut tidak lama lagi.

Hal ini kerana bencana yang menimpa mereka semalam sudah teruk apabila terdapat rumah dinaiki air sehingga mencecah paras bumbung selain lantai dipenuhi lumpur dipercayai dari Gunung Inas.

Seorang penduduk Kampung Teluk Sanau, Majid Aadir, 58, berkata, sudah acap kali banjir melanda kampung mereka sejak projek pembalakan didakwa dilakukan di gunung berkenaan.

“Mujur bencana semalam jadi pada waktu siang, kalaulah air deras itu mengalir pada waktu kami sedang tidur, tak dapat bayangkan apa nasib kami.

“Sebelum ini, memang berlaku banjir, tapi, tidaklah seteruk ini, hanya paras tingkap rumah, tetapi kali ini tak terkata melihat air hingga ke bumbung,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam, hujan lebat hanya selama satu jam menyebabkan 34 mangsa daripada sembilan keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS).

Selain Kampung Teluk Sanau, antara lokasi lain yang terjejas adalah Kampung Rambong Batu, Bendang Sera, Batu 7, Lubuk Pedati, Seberang Watt, Jernang, Seratus dan Kampung Tanjung Langsat.

Sementara itu, Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, berkata, dia hanya terfikir untuk menyelamatkan diri dan anak-anak apabila melihat air sungai melimpah dengan cepat memenuhi kawasan rumahnya.

Katanya, dia ternampak batang pokok kayu besar yang turut dihanyutkan arus deras dan dipercayai ia dari kawasan jajaran bukit sama dengan Gunung Inas.

“Setiap masa saya tinjau sungai sebelum tiba-tiba sahaja melihat aliran air terlalu deras dan melimpah dengan banyak di pekarangan rumah.

“Saya dan suami kemudian menaiki motosikal dan membawa dua anak lelaki berusia empat dan 10 tahun untuk ke tempat lebih tinggi tanpa memikirkan barangan di rumah,” katanya.

Menurut Mohd. Basri Jaffar, 42, pula, kejadian banjir kali ini merupakan yang paling teruk pernah berlaku di kampung itu.

“Saya percaya ini disebabkan oleh aktiviti pembalakan di kawasan hutan berhampiran yang terletak kira-kira 3 kilometer dari kawasan kampung ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN