PETALING JAYA: Polis menumpaskan satu lagi sindiket dadah yang menjadikan kondominium dikawal ketat pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah dalam dua serbuan di Kepong dan Bukit Jalil dekat sini semalam.
Sindiket yang bergerak aktif sejak empat bulan lalu serta didalangi lelaki berusia 48 tahun itu terbongkar dalam Op Otto oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur bermula Isnin hingga kelmarin.
Dalam operasi sama, polis merampas dadah bernilai RM708,900.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam operasi bermula 10 malam Isnin lalu hingga 12.35 tengah malam kelmarin, berjaya merampas dadah syabu serta pil ekstasi bernilai RM708,900.
Menurutnya, serbuan pertama dijalankan di Jalan Vista Mutiara, Kepong dan berjaya menahan suspek.
“Pemeriksaan di dalam kondominium itu turut menemukan 1,000 biji pil ekstasi dan 123.87 gram syabu.
“Susulan itu, polis kemudian menyerbu sebuah lagi tempat di Jalan Perkasa 3, Bukit Jalil dan menemui 13.59 kilogram (kg) pil ekstasi serta syabu seberat 1.04 kg,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azmi berkata, ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah methamphetamine dan memiliki rekod jenayah mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
Ujarnya, siasatan mendapati bekalan dadah diperoleh dari pengedar tempatan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.
“Suspek tidak memiliki pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan.
“Suspek direman seminggu sehingga 29 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- UTUSAN