PETALING JAYA : Seorang lelaki ditahan semalam selepas dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman dan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Penahanan suspek berusia 30 tahun itu dilakukan di sebuah rumah di Puchong dekat sini kira-kira pukul 11.15 malam tadi selepas laporan polis diterima mengenai ancaman dan ugutan dalam media sosial terhadap Tun Tengku Maimun.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Superintenden A Skandaguru dalam satu kenyataan memberitahu, kenyataan berkenaan dikesan telah dimuat naik oleh seorang pemilik Facebook dikenali Apiez Bond.
Kata beliau, hasil penahanan itu, satu unit telefon bimbit beserta kad sim yang dipercayai digunakan suspek memuat naik hantaran berkenaan dirampas.
“Suspek akan ditahan reman selaman empat hari bermula hari ini sehingga 23 Ogos ini bagi siasatan lanjut.
“Siasatan berkenaan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut,”katanya.
Dalam pada itu, siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Jelas beliau, PDRM memandang serius perkara ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan ketenteraman awam yang boleh menganggu gugat keamanan.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambul terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan platform media sosial untuk mengancam keselamatan,” jelasnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan PDRM bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan individu yang mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman dan ugutan terhadap Tun Tengku Maimun.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan siasatan akan dijalankan berhubung sebarang elemen ancaman dan ugutan.
Acryl Sani memaklumkan, JSJ akan mengesan sebarang elemen ancaman dan ugutan terhadap Tengku Maimun di dalam pelbagai medium laman sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook sejak tengah malam semalam.-UTUSAN