PETALING JAYA: Kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, kertas siasatan berkenaan telah pun dilengkapkan dengan saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.
“Seterusnya, SPRM akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian Pejabat Peguam Negara terhadap kertas siasatan tersebut,” kata kenyataan itu secara ringkas.
Semalam, kerajaan menggesa SPRM dan AGC segera bertindak berhubung pendedahan kepincangan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan selepas ia dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
Beliau berkata, ini kerana kerajaan memandang serius isu projek LCS yang sedang dalam siasatan SPRM berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan siasatan berkenaan projek perolehan berkenaan telah lama dijalankan SPRM sejak beberapa tahun lalu.
Azam memberitahu, beliau bagaimanapun tidak dapat memaklumkan di peringkat mana dan apa keputusan mengenai siasatan itu.
Kata beliau, perkara itu perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan beberapa pihak berkaitan sebelum boleh didedahkan kepada umum.
Terdahulu, pelbagai pihak mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur LCS susulan laporan PAC yang dibentangkan pada Khamis lalu.
Antara yang mendesak adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam laporan yang dibentangkan itu, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan kapal berkenaan, antaranya kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini. – UTUSAN










