PUTRAJAYA: Kerajaan boleh mengutip RM9.2 juta sebulan jika bayaran RM1 dikenakan kepada warga asing yang menggunakan khidmat bas GoKL yang ketika ini diberikan percuma.
Pada masa ini dianggarkan 45.2 peratus penggunaan khidmat bas percuma itu dinikmati warga asing.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, jika mereka dikenakan bayaran hanya RM1 seorang, kerajaan boleh mengutip sejumlah RM9.2 juta setiap bulan.
“Justeru, kita tidak menolak kemungkinan mencadangkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengenakan bayaran terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan awam itu,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Terdahulu, beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya yang ingin tahu jumlah warga asing menggunakan perkhidmatan bas percuma GoKL dan adakah pihak kerajaan merancang mengenakan caj kepada warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma itu pada masa hadapan.
Menjawab soalan asal Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berhubung tindakan menangani kesesakan lalu lintas terutamanya di ibu kota, Jalaluddin berkata, DBKL sedang melaksanakan beberapa inisiatif seperti bekerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik KL bagi penyuraian kesesakan lalu lintas di sekitar Pusat Bandar Kuala Lumpur.
Katanya, penempatan kawalan penguatkuasaan secara bersama pada waktu puncak secara berterusan di 85 lokasi hot spot kesesakan di jalan-jalan utama iaitu 72 lokasi di bawah PDRM, manakala 13 lokasi di bawah Warden Trafik DBKL.
“Di samping itu DBKL memasang papan tanda larangan kenderaan berat memasuki pusat bandar pada waktu-waktu puncak di laluan masuk atau sempadan memasuki pusat bandar.
“Paparan larangan ini juga diingatkan di dalam Variable Message Sign (VMS) di semua laluan masuk ke pusat bandar, di lokasi-lokasi strategik dan di lokasi berhampiran sempadan penyediaan kawasan parkir kenderaan berat sebelum masuk ke Kuala Lumpur,” katanya.
Bagi tindakan jangka masa panjang, katanya, DBKL membuat penambahbaikan jajaran 1st mile dan last mile bagi semua pengangkutan awam; integrasi antara konsesi lebuh raya dan penyuraian trafik yang lebih berkesan selain memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam bagi menggalakkan penggunaannya. – UTUSAN










