Kos PLKN terlalu mahal

Kos PLKN terlalu mahal

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) didakwa menelan kos enam kali ganda lebih tinggi berbanding program Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) yang diperkenal Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pelaksanaan MFLS melibatkan kos dalam lingkungan RM50 juta setahun berbanding PLKN antara RM600 hingga RM650 juta.

Beliau berkata, sehubungan itu kerajaan perlu mengambil kira kos yang bakal dibelanjakan jika ada perancangan untuk menghidupkan semula program PLKN.

Katanya, semasa pentadbiran kerajaan PH, kementeriannya mengembangkan manfaat agensi-agensi kerajaan seperti Biro Tata Negara (BTN) dan berjaya menjimatkan lebih 80 peratus kos yang pernah dibelanjakan kerajaan sebelum itu.

“Sudah tukar kerajaan dua kali pun, masih dikekalkan program yang kami buat dulu iaitu MFLS, yang merupakan program untuk anak muda dalam lingkungan usia 16 tahun hingga 19 tahun. Ia bermula peringkat sekolah untuk mereka sertai tetapi ada elemen kompetitif iaitu pelajar terbaik dipilih dan kumpulan anak muda berisiko.

“Program kami laksanakan ini memberi impak kepada kumpulan yang lebih besar tetapi kosnya jauh lebih rendah. Kita memanfaatkan agensi-agensi dalam kerajaan sepenuhnya.

“Sudut itu yang perlu dipertimbangkan, kalau tidak dari mana kerajaan mahu mencari dana sebanyak RM650 juta ringgit itu. Satu lagi perkara penting, kerajaan perlu membantu pemilik-pemilik kem mencari alternatif yang lain ,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, sebahagian 62 pengusaha kem PLKN yang dimansuhkan pada 2018 muflis manakala yang lain menunggu tindakan bankrap selepas menanggung beban hutang yang besar akibat pemansuhan program itu.

Situasi itu berlaku apabila pemilik kem terbabit gagal menjelaskan hutang bank selepas melabur hingga RM12 juta untuk menyediakan sebuah kem untuk dijadikan pusat latihan kepada program yang diperkenal kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Februari 2004.

Syed Saddiq berkata, sepanjang tempoh 22 bulan pentadbiran Kerajaan PH, program MFLS dijalankan dengan proses tender terbuka dan bukannya runding terus.

Katanya, pelaksanaan MFSL mengambil kira situasi semasa serta keperluan golongan muda berusia 18 tahun yang tidak boleh dipaksa dan ada kehendak untuk bekerja atau mempunyai matlamat tersendiri.

“Kita gabungkan pelajar terbaik dan kumpulan belia berisiko supaya nilai baik dapat diterapkan kepada kepada orang muda tetapi tidak ada elemen paksaan.

“Kita tidak paksa semua untuk hadiri kerana apabila seseorang itu telah berusiaa 18 tahun, ada dalam kalangan itu yang perlu buat latihan amali, ingin bekerja sambilan, menyertai aktiviti sukarelawan dan ada juga yang bekerja untuk meringankan beban keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN