Kementerian Pertahanan sedia beri kerjasama siasatan LCS

Kementerian Pertahanan sedia beri kerjasama siasatan LCS

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan bersedia memberikan kerjasama kepada semua agensi yang melakukan siasatan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). 

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya mahu isu berkaitan itu diselesaikan dan diteruskan demi kepentingan TLDM, dana awam dan kepentingan negara. 

“Saya dan kementerian akan lakukan apa sahaja bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan serta memberikan kerjasama penuh kepada semua badan berkuasa yang melakukan siasatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta Audit Forensik. 

“Saya dan barisan kepimpinan di kementerian tiada sebarang perkara yang hendak disembunyikan sebaliknya hanya mahukan perkara ini dapat diselesaikan dan diteruskan demi kepentingan TLDM, demi wang awam yang dibelanjakan serta kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, kerajaan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) segera bertindak berhubung pendedahan kepincangan projek pembinaan kapal LCS berkenaan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan selepas ia dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini. 

Dalam pada itu, Hishammuddin juga memberi jaminan bahawa keputusan Kabinet hari ini tidak akan mengganggu tiga perkara yang ditegaskan beberapa kali sebelum ini. 

“Pertama, TLDM memerlukan LCS dan sebab itu ia mesti diteruskan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada April 2022. Kedua, pihak yang salah tetap salah dan mesti dihadapkan ke muka pengadilan. 

“Ketiga, dalam tempoh enam bulan ini, Kementerian Pertahanan juga sedang giat melakukan kerja-kerja rundingan dengan pihak pengeluaran produk tulen (OEM), vendor dan perbankan sebagai pelan mobilisasi bagi memastikan LCS dapat disiapkan.

“Justeru, penting untuk semua pemegang taruh kekal fokus terhadap usaha meneruskan projek LCS, demi memastikan TLDM dapat memiliki LCS yang sangat mereka perlukan dengan secepat mungkin,” jelasnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN