PASIR MAS: Kerajaan negeri sudah meluluskan lebih 105,050 permohonan kepada rakyat untuk memiliki tanah sehingga tahun ini sejak mengambil alih tampuk pentadbiran pada 1990 lalu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, jumlah tersebut melibatkan tanah milik kerajaan yang berkeluasan 188,730.40 hektar yang diserahkan kepada rakyat sepanjang tempoh 32 tahun itu.
Menurutnya, permohonan itu melibatkan tanah kerajaan di jajahan Gua Musang, Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Mas.
“Pasir Mas merupakan jajahan paling ramai yang membabitkan seramai 6,120 pemilik dengan keluasan 10,117.93 hektar diluluskan. Terbaru, kita menyerahkan geran tanah kepada 100 penduduk di Pasir Mas hari ini selepas permohonan mereka diluluskan.
“Pemberian hak milik tanah kerajaan itu kepada rakyat berdasarkan permohonan sama ada untuk kegunaan rumah kediaman, pertanian atau sebagainya,” katanya selepas program Menteri Besar Jjupo Mato Dengan Rakyat di Bandar Baru Pasir Mas di sini hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan memberitahu, kerajaan negeri sentiasa peka terhadap masalah pemilikan tanah oleh rakyat di negeri ini.
Katanya, dengan pemberian geran ini, kerajaan negeri berharap penerima dapat meneruskan aktiviti seharian yang diusahakan dan menjaga tanah ini dengan sebaik-baiknya agar dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.
Sementara itu, penerima geran tanah, Nik Rahim Nik Mod, 65, dari Kampung Berangan Apam berkata, dia bersyukur apabila penantiannya sejak tahun 2015 untuk memiliki tanah ini menjadi kenyataan.
Katanya, kedua-dua ibu bapanya pernah mengusahakan tanah itu dengan tanaman getah sejak tahun 1970 lagi di Mukim Apam.
“Sekarang, dah dapat hak milik, saya akan usahakan semula tanah seluas 2 hektar dengan tanaman getah atau kelapa sawit,”katanya. –UTUSAN ONLINE