Kecewa janji tak dikota, Ahmad Idham tinggalkan Bersatu

Kecewa janji tak dikota, Ahmad Idham tinggalkan Bersatu

Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengumumkan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali gus melepaskan jawatan sebagai Ketua Cawangan Bersatu Pinggiran Ukay, Bahagian Ampang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengumumkan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali gus melepaskan jawatan sebagai Ketua Cawangan Bersatu Pinggiran Ukay, Bahagian Ampang.

Mengesahkan kepada Mingguan Malaysia, beliau berkata, alasan keluar parti kerana mendakwa terdapat banyak masalah dalaman Bersatu selain janji-janji yang tidak dikota sepanjang bersama parti itu.

Menurut Ahmad Idham, selama ini beliau hanya berperanan sebagai ahli parti biasa dan tidak memegang jawatan ketua cawangan seperti dilaporkan.

“Sudah tiada lagi (bersama Bersatu). Masalah banyak hanky-panky, ada ‘mainan’ ketua bahagian yang tidak senang dengan saya, ada juga janji yang saya tidak dapat.

“Saya hanya ahli biasa. Pasal jawatan sebagai ketua cawangan, itu mereka (parti) yang cakap, tetapi buat tidak tahu. Dokumen pun tiada,” katanya ketika dihubungi semalam.

April lalu, penerbit filem Jangan Pandang-Pandang itu dilaporkan menyertai politik dan dilantik sebagai Ketua Cawangan Bersatu Pinggiran Ukay dengan matlamat mempertingkat pembangunan dan kesedaran terhadap hab pendidikan khas untuk golongan anak istimewa.

Sebelum itu, Utusan Malaysia meminta penjelasan mengenai kehadirannya bersama pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof dalam mesyuarat bagi penubuhan Gagasan Bangsa, yang akan bergabung dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dalam mencorakkan naratif politik Melayu baharu.

Ini menimbulkan prasangka jika Pengarah Terbaik (Telefilem) Anugerah Skrin 2003 itu dilihat mencari ‘rumah baharu’ dengan gagasan baharu GTA, selepas meninggalkan Bersatu.
Untuk rekod, Bersatu diasaskan bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum membentuk parti baharu dinamakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang kini berada dalam GTA.

Selain Pejuang, GTA dianggotai Parti Berjasa (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) yang menyasarkan 120 kerusi Parlimen pada PRU15.

Kata Ahmad Idham, politik benda baharu dalam hidupnya tetapi, kalau ada saluran yang boleh untuk bersama membantu masyarakat, maka beliau akan bersama parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN