KDN bantu Jakim kesan 'pengkid' tunai umrah pakai ihram lelaki - Utusan Malaysia

KDN bantu Jakim kesan ‘pengkid’ tunai umrah pakai ihram lelaki

IDRIS Ahmad menandatangani plak perasmian Dewan Besar dan Upacara Pecah Tanah Pondok Kitab Turath di Kompleks Pendidikan Al-Rahmat di Solok Gaong, Bukit Lintang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan membantu usaha mengesan seorang wanita yang didakwa mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, hal ini memandangkan individu tersebut menggunakan visa pelancongan bagi menunaikan umrah seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandangkan sehingga kini, pihaknya belum mendapat maklumat lengkap sama ada wanita tersebut masih berada di tanah suci atau sudah pulang ke tanah air.

“Sekarang ini, kita tidak tahu status sebenar wanita ini. Ada kata dia tinggal di Perak, ada pula kata dia duduk di Selangor.

“Maklumat tentang dia pun kita tidak banyak tahu dan mungkin kita akan minta kerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk mengesan wanita ini.

“Cuma hari itu, di peringkat awal, saya memang ada minta tolong Jabatan Imigresen dan kali ini kita perlu mengesannya sebelum tindakan tegas diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Dewan Besar dan Upacara Pecah Tanah Pondok Kitab Turath di Kompleks Pendidikan Al-Rahmat di Solok Gaong, Bukit Lintang di sini hari ini.

Terdahulu, isu wanita yang lengkap memakai ihram lelaki sewaktu menunaikan umrah di Mekah tular dalam media sosial dan menimbulkan perasaan kurang senang masyarakat Islam di negara ini.

Idris menambah, usaha pengesanannya menjadi sukar kerana wanita terbabit tidak menggunakan khidmat agensi sebaliknya secara sendiri.

Menurutnya, kerajaan Arab Saudi juga tidak dapat mengesan individu terlibat memandangkan tiada sebarang rekod jenayah untuk membolehkannya ditahan pihak berkuasa negara berkenaan.

Ditanya mengenai penganjuran konsert hiburan yang berterusan, Idris berkata, ia tidak sewajarnya diadakan selepas negara baharu sahaja beralih ke fasa peralihan endemik.

“Sepatutnya tak perlu konsert bertalu-talu, cukuplah setakat hiburan yang ada sekarang di negara ini. Dalam keadaan ekonomi yang teruk, kenapa mesti nak bayar mahal untuk tengok konsert,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN