MELAKA: Kerajaan negeri mengambil maklum masalah hakisan tanah dan keretakan melampau pada struktur rumah dihadapi kira-kira 15 keluarga yang tinggal di Jalan Ayer Keroh Permai (AKP) 5 dan Jalan AKP 3 di sini, sejak minggu lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, isu yang dihadapi penduduk Taman Ayer Keroh Permai itu dipercayai berpunca daripada masalah paip kumbahan.
Beliau berkata, lawatan oleh jurutera bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) akan dilakukan hari ini (Jumaat) bagi mencari penyelesaian terbaik membantu penduduk terlibat.
“Kita percaya bahawa masalah rumah retak dan hakisan yang dihadapi penduduk adalah berpunca daripada paip kumbahan. Esok pagi (hari ini), jurutera akan adakan lawatan bersama SPAN dan IWK,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, akhbar ini melaporkan, kira-kira 15 keluarga yang tinggal di Jalan AKP 5 dan Jalan AKP 3 kecewa apabila masalah hakisan tanah dan keretakan pada struktur rumah yang dihadapi mereka dipandang sepi pihak berwajib tanpa sebarang tindakan susulan.
Naib Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Ayer Keroh Permai, Jenny Lee berkata, tiada satu pun agensi kerajaan yang tampil berhubung dengan pihaknya atau turun padang melihat sendiri masalah keretakan yang berlaku.
Menurutnya, sejak berdepan masalah itu bermula minggu lalu, hanya IWK sahaja yang tampil untuk membantu, namun, ia belum cukup menyelesaikan isu dihadapi. –UTUSAN ONLINE