JPBM Kelantan kesan 11 lokasi kepala air  - Utusan Malaysia

JPBM Kelantan kesan 11 lokasi kepala air 

MOHD. Wildan Azhari (dua kiri) ketika memberi taklimat kepada pegawai dan anggota PPDA yang terlibat dalam kursus Pengukuhan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di Pulau Perhentian, Terengganu semalam.UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mendedahkan terdapat 11 lokasi pusat peranginan dan perkelahan di dua buah daerah di negeri ini yang berisiko berlakunya kepala air.

Penolong Pengarah Operasi, Penguasa Kanan Bomba II Mohd. Wildan Azhari berkata, dua daerah tersebut adalah Kuala Krai dan Jeli yang menjadi tumpuan orang ramai untuk berkelah di kawasan sungai dan air terjun.

Menurutnya, lokasi-lokasi yang dikenal pasti di Kuala Krai iaitu Sungai Kenderong, Air Terjun Gunung Stong, Sungai Rantai Gunung Stong, Air Terjun Lata Golok Sungai Durian, Air Terjun Lata Berangin, Air Terjun Lata Rek, Air Terjun Lata Y dan Air Terjun Istana Sangkut.

“Di Jeli pula, hanya tiga kawasan yang berkemungkinan akan berlaku kepala air iaitu Sungai Pergau, Air Terjun Lata Janggut dan Air Terjun Renyut.

“Lokasi-lokasi tersebut menjadi tumpuan JBPM Kelantan terutamanya ketika musim hujan dan tengkujuh. Kita turut mengadakan pembaharuan dan kajian mengenai insiden kepala air terutamanya dalam aspek menyelamat mangsa ketika menghadapi situasi berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Kursus Pengukuhan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di Pulau Perhentian disini semalam.

Mohd. Wildan memberitahu, pihaknya sudah mempersiapkan segala kelengkapan termasuk kenderaan logistik bagi menghadapi kejadian kepala air di lokasi yang telah dikenal pasti itu.

Katanya, kejadian kepala air di Baling, Kedah baru-baru ini wajar dijadikan sebagai pengajaran agar JBPM Kelantan dapat mengambil langkah proaktif bagi menghadapi insiden terbabit. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN