PETALING JAYA: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu dijenamakan semula dengan diberi ‘nafas baharu’ sesuai dengan matlamatnya untuk memupuk jati diri, mengeratkan perpaduan serta membendung masalah sosial generasi muda.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Fairos Rusli berkata, program seumpama PLKN sangat berkesan dalam membantu membentuk jati diri seseorang khususnya golongan belia.
Menurut beliau, pada masa ini golongan muda lebih cenderung terikat dengan aktiviti dalam talian sehingga kurang bersosial dan jauh sekali memupuk semangat perpaduan nasional.
“Program PLKN ni bagus, ia membentuk jati diri anak muda kita. Ia juga membina semangat perpaduan yang tinggi kerana di dalam program tersebut peserta akan bercampur tanpa mengira kaum dan agama. Cumanya, pendekatan itu mungkin perlu ubah sedikit seperti mengadakan sesi libat urut bersama persatuan belia atau agensi-agensi berkesesuaian.
“Jadi PLK wajar dihidupkan semula kerana ia jelas memberi impak baik bukan sahaja kepada pembentukan jati diri anak muda tapi juga memupuk semangat patriotisme.
Jika kita lihat pada Singapura kenapa mereka masih teruskan program mereka adalah kerana ia beri impak kepada negara,” katanya.
PLKN yang dimulakan pada 2014 sebelum dihentikan pada 2018 telah melibatkan 1.44 juta belia berusia 18 tahun mengikuti latihannya selama tiga bulan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, sebahagian 62 pengusaha kem PLKN yang dimansuhkan pada 2018 muflis manakala yang lain menunggu tindakan bankrap selepas menanggung beban hutang yang besar akibat pemansuhan program tersebut.
Mengulas mengenai tindakan kerajaan sebelum ini memansuhkan PLKN, Mohd Fairos menyifatkan ia adalah tindakan yang tidak tepat dan hanya sekadar ‘mainan’ politik.
“Keputusan itu bukan sahaja kurang tepat tetapi PH seolah-olah tidak berfikir panjang semasa melakukan keputusan tersebut. Ini semata-mata permainan politik yang dimainkan oleh mereka dahulu.
“Mereka bercerita tentang PLKN ni membawa pembaziran dan sebagainya tetapi saya tidak Nampak program itu membazir. Malah, ia adalah satu pelaburan yang amat baik untuk negara kita,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Pembangunan Program dan Pemasaran) di Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Professional (UKMShape), Jamalul Lail Abdul Wahab menggesa setiap pihak memandang program PLKN dalam konteks lebih besar.
“Program sebegitu adalah untuk negara, ia bukan pembaziran. Sekiranya benar berlaku kita boleh kawal daripada pelbagai cara seperti mengurangkan tempoh latihan dan sebagainya bukan memansuhkan secara terus.
“Program khidmat latihan itu juga boleh dilakukan dengan kerjasama pelbagai kementerian seperti pendidikan, kesihatan dan pertahanan untuk menilai silibus apa yang sesuai menepati dengan keperluan serta peredaran masa supaya peserta dapat mengaplikasikan ilmu diperoleh dalam hidup mereka,” jelasnya.
Tambahnya, ahli politik perlu mengasingkan agenda politik mereka dengan program yang dapat membina jati diri dan semangat perpaduan berbilang kaum.
“Kita mesti fokus kepada pembinaan negara dan masyarakat supaya dapat lahirkan ihsan-ihsan yang hebat serta berfikiran positif, itu sangat penting untuk memastikan negara kita terus berkembang dengan baik,” ujarnya. – UTUSAN










