PETALING JAYA: Pendakwah, Don Daniyal mengharapkan satu garis panduan berkaitan konsert dapat diwujudkan, berbanding mengharamkan terus penganjuran persembahan berskala besar, khususnya melibatkan artis luar negara.
Jelasnya, berhibur bukan satu kesalahan, tetapi garis panduan bagi umat Islam menghadiri konsert boleh menjernihkan perselisihan pendapat dalam kalangan pendakwah dan artis yang hangat diperdebatkan di media sosial.
“Pendirian saya tetap selari dengan mufti, perkara yang melibatkan maksiat, jangan sokong. Tetapi, jangan kita terus menghukum, menjatuhkan dosa kepada semua.
“Konsert itu apa hukumnya? Kalau konsert itu haram, jadi konsert nasyid juga haram? Kita kena ada garis panduan bagaimana orang Islam hendak ke konsert.
“Kita juga kena tengok secara holistik. Konsert artis luar negara, misalnya dapat membantu sektor pelancongan dan ekonomi negara. Kita kena bagi cadangan dan jalan keluar,” katanya.
Don ditemui ketika pelancaran program baharu, Geng Ta’alim yang bakal bersiaran 5 September ini.
Baru-baru ini, Pencetus Ummah (PU) Syed menggesa pihak berkuasa untuk membatalkan konsert melibatkan artis luar negara yang disifatkan sebagai melalaikan dan berdosa.
Malah, PU Syed juga berhasrat untuk mengadakan satu perhimpunan khas bagi menggerakkan usaha membatalkan konsert tersebut.
Kenyataan itu mendapat pelbagai respons daripada kalangan selebriti tempatan seperti Nabila Huda yang menganggap, pendapat PU Syed sebagai tidak matang.
Dalam pada itu, Don juga berharap agar golongan asatizah dan artis boleh berkerjasama, terutama dalam membangunkan sektor seni berlandaskan Islam.
“Jangan ada bias. Asatizah dan artis perlu bersahabat. Janganlah kita rasa kita mulia dan semua artis itu pendosa. Kita juga pendosa.
“Malaysia juga negara majmuk. Jangan fikir umat Islam sahaja. Kita kena fikir secara menyeluruh, tanpa meninggalkan mana-mana kaum, agama dan sensitiviti.
“Contohnya garis panduan itu. Kita buat tempoh percubaan, kalau berjaya kita laksana. Perlahan-lahan, bertenang,” katanya.