SHAH ALAM: Misteri kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Azman masih belum terjawab walaupun polis memaklumkan sudah memanggil seorang kenalannya yang dikenal pasti sebagai orang terakhir bertemunya pada Julai tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, keterangan yang diberikan oleh individu berusia 30-an itu pada 16 Ogos lalu tidak memberikan sebarang petunjuk baharu untuk mengesan Zalina, 58.
“Soal siasat org terakhir dgn OH (orang hilang) adalah negatif. Tiada perkembangan terbaru tentang OH sehingga kini,” katanya dalam satu makluman kepada pemberita.
Jelas beliau, individu berkenaan tidak mempunyai hubungan kekeluargaan Zalina serta kaitan dengan pekerja pembinaan yang melakukan kerja-kerja mengubah suai banglonya di Seksyen 3 di sini.
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal memaklumkan, Zalina atau nama sebenarnya Zalina Shaharah Azman berada dalam keadaan sihat.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan tiga pekerja kontraktor yang terlibat dengan kerja-kerja pengubahsuaian rumah milik Zalina tidak terkait dengan kehilangan bekas pengacara rancangan Money Matters.
Selain itu, polis turut merampas beberapa barangan dari banglo tersebut termasuk dokumen dan sebuah komputer riba yang sedang dianalisis oleh pasukan forensik selepas melakukan pemeriksaan kali ketiga pada 28 Julai lalu.
“Kita tak mahu ada ketinggalan sebarang bukti, ada beberapa dokumen kita rampas dalam rumah tersebut, kita buat rampasan komputer riba untuk membuat analisis di makmal forensik kita. Saya tak boleh dedahkan perinciannya, sebab rampasan itu masih dalam siasatan kita.
“Kita periksa, ada laptop, kemudian itulah kita ambillah, kemudian habis. Kalau hendak cari tubuh pun memang tak ada sebab anjing pengesan pun memang tak jumpa jejak dekat rumah tersebut,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE