Isteri kepada pengawal keselamatan ditetak terima faedah Perkeso - Utusan Malaysia

Isteri kepada pengawal keselamatan ditetak terima faedah Perkeso

NOR Asmah Ismail (tengah) menerima bayaran faedah Perkeso daripada Mohamad Haron Othman (dua kanan) ketika berkunjung ke rumah mangsa di Sungai Petani, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Waris kepada pengawal keselamatan yang meninggal dunia selepas empat hari dirawat akibat ditetak dengan pedang bersyukur menerima bayaran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang membantu meringankan beban selepas hilang punca pendapatan.

Isteri mangsa, Nor Asmah Ismail, 57, berkata, sebagai suri rumah, dia cukup terasa dengan kematian suaminya, Allahyarham Ismail Ahmad, 58, menyebabkan dia rasa tertekan untuk meneruskan hidup.

“Syukur kerana hari ini saya tidak perlu lagi memikirkan di mana untuk memperoleh sumber pendapatan selepas menerima faedah daripada Perkeso.

“Ia sangat meringankan beban kami sekeluarga kerana selain Faedah Pengurusan Mayat, saya turut menerima Faedah Orang Tanggungan yang dibayar secara bulanan untuk tempoh sepanjang hayat,” katanya semasa ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Sementara itu, Nor Asmah mengakui dia menerima ketentuan takdir, tetapi, pada masa sama berharap pesalah yang menyebabkan kematian suaminya akan diberikan hukuman setimpal.

“Kita sekeluarga percaya pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya kepada pelaku tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Perkeso Kedah, Mohamad Haron Othman berkata, pihaknya menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 kepada Nor Asmah selain akan membayar Faedah Orang Tanggungan secara bulanan bermula awal September ini.

“Majikan mangsa membuat caruman sejak dia mula bekerja April lalu yang melayakkan dia menerima faedah terbabit. Kita harap faedah yang diterima Nor Asmah ini akan dapat membantu meringankan bebannya,” katanya.

Ismail yang merupakan pesara tentera dan bapa kepada empat orang anak meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini pada pukul 6.15 petang kelmarin ketika dirawat akibat kecederaan di kepala dan tangan setelah ditetak dengan pedang oleh seorang lelaki.

Kejadian itu berlaku disebabkan suspek tidak berpuas hati ditegur Ismail kerana menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan pos pengawal tapak projek perumahan Sierra 4, Bukit Banyan di sini pada pukul 4.40 petang, 4 Ogos lalu.

Lelaki itu yang sudah membuat pengakuan bersalah kerana mencederakan mangsa kemudian sekali lagi dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan baharu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian Ismail. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya