Inisiatif penghargaan kepada penjawat awam

Inisiatif penghargaan kepada penjawat awam

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengumuman enam inisiatif baharu yang diumumkan Perdana Menteri me­rupakan manifestasi penghargaan kerajaan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam.

Presiden Kongres Kesa­tuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, inisiatif tersebut sekurang-kurangnya mampu memberi kelegaan kepada penjawat awam yang begitu terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan kenaikan inflasi.

Katanya, ia adalah satu penghargaan yang wajar atas pencapaian produktiviti disumbangkan penjawat awam kepada negara. Hal ini tidak wajar dinafikan atau dipertikaikan oleh pihak lain.

“Sesuai dengan saranan Perdana Menteri, Cuepacs berharap setiap pejawat awam sentiasa menjaga produktiviti masing-masing agar ekonomi negara akan bertambah kukuh dan kerajaan lebih berupaya meningkatkan kebajikan kepada seluruh warga perkhid­matan awam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas pengumuman khabar gembira yang disampaikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 di Putrajaya, semalam.

Perdana Menteri mengumumkan enam inisiatif baharu kepada penjawat awam sebagai memahami keluh kesah anggota perkhidmatan awam dan antaranya inisiatif ialah bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas RM100 untuk penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023.

Dalam pada itu, Adnan berkata, Cuepacs juga meminta agar kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam disegerakan seperti mana komitmen Perdana Menteri bagi menjaga kebajikan penjawat awam.

Katanya, perkara itu hendaklah mengambil kira ke­seluruhan aspek modal insan yang merangkumi saraan dan perkhidmatan di samping sistem saraan sedia ada ketika ini telah dilaksanakan sejak 2002 serta tidak lagi sesuai dengan persekitaran ekonomi serta kos sara hidup semasa.

Selain itu katanya, perkara utama yang perlu diberikan perhatian dalam sistem saraan baharu itu adalah meningkatkan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan seperti yang dituntut oleh Cuepacs sebelum ini.

“Namun enam inisiatif baharu diumumkan Perdana Menteri merupakan manifestasi penghargaan kerajaan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam yang sentiasa menjadi barisan hadapan dalam meletakkan negara kembali pada landasan kukuh selepas pelbagai cabaran dihadapi.

“Kita memahami bahawa kerajaan mempunyai keka­ngan daripada sudut kewa­ngan namun tetap cuba untuk mendengar dan memberi yang terbaik kepada penjawat awam demi menghargai sumbangan dicurahkan penjawat awam selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, langkah menambah kadar Cuti Rehat Khas lima hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang berkhidmat lebih 10 tahun secara tidak langsung dapat mengurangkan beban warga pendidik.

“Langkah itu sebenarnya selaras peningkatan jumlah maksimum pengumpulan gantian cuti rehat penjawat awam daripada 150 hari kepada 160 hari bagi award gantian tunai seperti dibentangkan pada Belanjawan 2022,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×