Hidroponik: Tanam, tinggal dan tuai - Utusan Malaysia

Hidroponik: Tanam, tinggal dan tuai

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Zabawi Abdul Ghani (kanan) menerangkan teknologi tanaman hidroponik yang dipamerkan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI/Pemberita; ARIEF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kaedah penanaman hidroponik moden menjadi jalan penyelesaian buat warga kota yang gemar bercucuk tanam namun mempunyai keluasan tanah terhad.

Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Hortikultur Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Mohamed Hafifi Basir berkata, penggunaan tiang hidroponik juga merupakan kaedah paling sesuai bagi mereka yang sentiasa sibuk bekerja.

“Kaedah yang kita bangunkan ini adalah sistem hidroponik biasa tetapi telah ditambah baik dengan ditanam secara menegak menggunakan tiang serta mempunyai peranti untuk memantau kadar hidrogen, kepekatan baja dan suhu.

“Untuk praktis seperti ini kita boleh tingkatkan lima hingga 10 kali ganda hasil pengeluaran sayur berbanding ditanam secara konvensional iaitu di atas batas,” katanya ketika ditemui pemberita di Laman Sayur Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini semalam..

Menurut Mohamed Hafifi, penggunaan tiang hidroponik bersaiz (0.7 meter x tiga meter) mampu mengeluarkan hasil antara empat hingga lima kilogram setiap kali dituai.

Jelasnya, antara sayuran berdaun yang sesuai untuk ditanam menggunakan kaedah termasuklah salad, kailan dan sawi.

“Mereka yang tinggal di kediaman jenis pangsapuri atau rumah teres dengan keluasan tanah terhad amat sesuai mengaplikasikan kaedah ini kerana ia mampu mengeluarkan hasil yang tinggi dan hanya dikawal menggunakan peranti.

“Dengan adanya ‘monitoring system’ kerja akan jadi lebih mudah kerana kita hanya tanam, tinggal dan tuai,” ujarnya.

Kata Mohamed Hafifi, berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dilakukan oleh MARDI, penggunaan tiang hidroponik berkenaan mula digunakan sekitar tahun 2015 dan menjadi semakin terkenal ketika negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kos permulaan bagi kaedah penanaman tersebut memang agak tinggi sekitar RM5,000 berdasarkan saiz tetapi ia adalah pelaburan jangka panjang kerana alatan yang digunakan boleh bertahan lama sehingga belasan tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN