GTA tidak cukup kuat untuk tarik sokongan pengundi Melayu

GTA tidak cukup kuat untuk tarik sokongan pengundi Melayu

DR. Mahathir Mohamad bersama barisan kepimpinan utama GTA pada majlis pelancarannya baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajui bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad belum cukup kuat untuk memikat undi Melayu walaupun dianggap saluran alternatif kepada kaum itu terutama pengundi atas pagar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, kehadiran entiti itu berupaya menjadi alternatif baharu kepada orang Melayu yang mahu satu gagasan yang mempunyai rekod bebas dan bersih daripada penyelewengan.

Katanya, GTA sekurang-kurangnya mampu meraih sokongan sekurang-kurangnya 10 peratus undi Malayu.

“Gagasan baharu ini boleh menjadi saluran alternatif kepada pengundi Melayu yang mahukan satu wadah politik baharu Melayu yang lain daripada UMNO, Pas dan Bersatu, apatah lagi ia dipimpin oleh Dr. Mahathir sendiri yang merupakan negarawan disegani rakyat,” katanya.

Kelmarin, Dr. Mahathir mengumumkan penubuhan sebuah gagasan dalam usaha menyatupadukan semula kaum Melayu-Islam untuk berjuang mempertahan Malaysia dalam usaha menyelamatkan negara ini.

GTA dianggotai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Dalam sidang akhbar kelmarin, GTA berhasrat bertanding di 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Mazlan berkata, gagasan tersebut belum cukup kuat untuk memikat keseluruhan pengundi Melayu tanpa kerjasama tiga parti besar Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Meskipun mereka ada Dr. Mahathir manakala ahli-ahli terdiri golongan profesional, mereka tiada tokoh baharu untuk ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri berbanding kekuatan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Jeniri Amir pula berkata, kehadiran gagasan baharu tersebut tidak akan memberi kesan besar kepada perkembangan politik tanah air kerana langsung tidak mempunyai kekuatan akar umbi dan sokongan orang ramai.

Jelasnya, meskipun dipimpin Dr. Mahathir, ia belum cukup kuat untuk meraih sokongan rakyat khususnya pengundi Melayu apabila rakyat masih melihat rekod 22 bulan beliau ketika menjadi Perdana Menteri di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Gagasan baharu ini merupakan percubaan terakhir Dr. Mahathir untuk menunjukkan bahawa beliau masih relevan dalam politik negara, itu sahaja tujuan perkara ini diwujudkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×