Fenomena aneh, bilis mata biru naik ke darat di Pangkor - Utusan Malaysia

Fenomena aneh, bilis mata biru naik ke darat di Pangkor

TANGKAP layar rakaman video ikan bilis mata biru yang terdampar di Pantai Pasir Bogak yang tular dalam media sosial sejak semalam.-GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Fenomena aneh ikan bilis mata biru terdampar Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor di sini pada Jumaat dan Sabtu lalu mengejutkan penduduk setempat.

Gambar dan rakaman video kejadian itu tular dalam media sosial dan penduduk menganggap fenomena itu sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka apabila mereka mengutip ikan bilis yang naik ke darat.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir turut berkongsi video kejadian itu dalam Instagramnya.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan berkata, kejadian itu luar biasa kerana tidak pernah berlaku sebelum ini.

Menurutnya, kejadian itu hanya berlaku di pantai Pasir Bogak dan tidak berlaku di pantai lain di pulau itu seperti Teluk Nipah.

Katanya, kejadian itu mula disedari apabila penduduk yang ternampak biasan cahaya bersinar-sinar di pesisir pantai sekitar pukul  8.30 malam Jumaat lalu.

“Apabila dilihat dari dekat, nampak ribuan ikan bilis berselerak dan kejadian ini mungkin berlaku disebabkan air pasang dan bulan penuh.

“Penduduk dan pengunjung mengambil kesempatan dengan mengutip ikan bilis yang naik ke darat. Kejadian tersebut tidak berulang dan hanya berlaku selama dua hari sahaja,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu agak pelik kerana ikan bilis mata biru kebiasaannya ditangkap nelayan sekitar lima hingga 10 batu nautika, namun, kali ini ia terdampar di pantai.

“Kejadian ini mungkin ada kaitan dengan hasil tangkapan nelayan yang tengah banyak bulan ini,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 2 minit 51 saat yang menunjukkan pengunjung mengutip ikan bilis segar di Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor menjadi tular di media sosial sejak semalam. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya