Felcra sasar hasil 3.6 juta ekor ayam setahun, 600,000 satu pusingan - Utusan Malaysia

Felcra sasar hasil 3.6 juta ekor ayam setahun, 600,000 satu pusingan

MAHDZIR Khalid (depan dua dari kiri) mendengar taklimat tentang projek pembinaan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging Felcra Berhad di Kampung Tanjung Seratus di Rompin, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Felcra Bhd. mengorak langkah dalam aktiviti perniagaannya dengan melaksanakan projek mega ternakan ayam sistem tertutup dianggarkan bernilai RM60 juta.

Projek yang dilaksanakan di Kampung Tanjung Seratus di daerah ini adalah sebahagian inisiatif Felcra dalam menyokong Dasar Jaminan Keselamatan Makanan Negara.

Pembinaan kompleks ternakan ayam di atas tanah seluas 20 hektar itu akan bermula bulan ini dan dijangka siap Januari tahun depan.

Ia dijangka mampu membekalkan kira-kira 600,000 ekor ayam bagi satu pusingan 35 hari atau 3.6 juta ekor pada tahun pertama operasinya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini keperluan ayam dalam negara adalah berjumlah 2.09 juta ekor sehari atau 62.9 juta ekor ayam sebulan berbanding pengeluaran semasa ayam sebanyak 1.6 juta ekor sehari iaitu kekurangan kira-kira 409,000 ekor ayam.

“Jadi, kita mulakan (penternakan ayam) bagi membantu kerajaan menampung bekalan ayam negara yang mana kita mulakan di Rompin sebelum diperluaskan di negeri-negeri lain,” katanya selepas program lawatan dan taklimat kemajuan pembinaan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging Felcra Berhad di Kampung Tanjung Seratus di sini hari ini.

Menurut Mahdzir, Felcra telah pun membuat ‘engagement’ dengan pihak-pihak yang mempunyai kepakaran dan teknologi selain agensi terbabit juga ada pegawai-pegawai dalam penternakan ayam.

“Projek ini sebahagian daripada Pelan Transformasi Felcra 2.0 untuk mempelbagaikan bidang perniagaan dan tidak hanya bergantung kepada sektor perladangan kelapa sawit semata-mata. 

“Pelaksanaan projek mega ternakan ayam ini akan memberikan kesan penjanaan ekonomi setempat melalui aktiviti perkhidmatan dan penyelenggaraan, kerja-kerja landskap, pembekalan, kontrak pembinaan dan pelbagai aktiviti lain dengan nilai hampir RM1 juta setahun,”katanya.  

Sementara itu, Pengerusi Felcra, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, projek tersebut penting dalam membantu kerajaan menangani krisis bekalan ayam di seluruh negara.

Justeru, beliau berharap bekalan ayam daripada projek ini dapat diedar untuk keperluan masyarakat dan berada dalam pasaran di serata tempat.

“Saya memberi ingatan bahawa projek ini bukan bertujuan bagi Felcra untuk mencari untung tetapi sebahagian daripada tanggungjawab sosial, saya tidak mahu ia menjadi produk komersial kerana yang penting dapat dibeli rakyat,”ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya