IPOH: Allahyarham Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, yang maut dalam nahas pesawat ringan Piper-28 yang terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah di sini, semalam seorang suami dan bapa yang penyayang.
Bapa saudara Allahyarham yang ingin dikenali sebagai Radzi, 57, berkata, Allahyarham begitu rapat dengan tiga orang anak perempuannya dan sentiasa mengambil berat keadaan mereka.
Menurutnya, Allahyarham juga seorang individu yang sangat merendahkan diri dan mudah bergaul dengan sesiapa sahaja yang dikenali terutama saudara-mara serta sahabat handai.
Katanya, isteri Allahyarham dan anak-anak masih bersedih dengan kejadian yang menimpa suami serta bapa mereka berlaku.
“Pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat keluarga mereka.
“Isteri mana tidak sedih kalau suami meninggal dunia, dia masih dalam keadaan sedih walaupun dia menerima apa yang berlaku lebih-lebih lagi arwah suami dan bapa penyayang yang rapat dengan anak-anak,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini hari ini.
Radzi berkata, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Surau Al-Kauthar Bandar Tasik Kesuma, Semenyih, Selangor, untuk memberi ruang kepada ahli keluarga, saudara mara serta sahabat handai memberi penghormatan terakhir.
“Jenazah akan disolatkan di Surau Al-Kauthar Bandar Tasik Kesuma, berhampiran rumahnya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran,” katanya
Sementara itu, suasana hiba menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik HRPB di sini ketika waris menunggu proses bedah siasat.
Fajim Juffa yang merupakan Jurulatih Penerbangan Bats Aviation Sdn Bhd, meninggal dunia selepas pesawat ringan Piper-28 yang dinaikinya terhempas di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng sekitar pukul 8 malam semalam.
Seorang lagi rakannya yang juga ketua jurulatih penerbangan Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dihantar ke HRPB bagi menerima rawatan dan dilaporkan berada di dalam keadaan stabil.
Sementara itu, Syarikat Penerbangan Bats Aviation Sdn. Bhd. (Bats Aviation) dalam kenyataan media hari ini memaklumkan mangsa sempat melaporkan kecemasan pada pukul 8.07 malam sebelum terputus hubungan selepas itu. – UTUSAN










