Ekonomi stabil, insentif rakyat isyarat PRU15 bila-bila masa

Ekonomi stabil, insentif rakyat isyarat PRU15 bila-bila masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kestabilan eko­nomi negara di samping pelbagai khabar gembira kepada rak­yat memberi isyarat jelas yang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh diadakan pada bila-bila masa.

Suasana baik itu mendorong kalangan penganalisis ekonomi berpandangan PRU15 boleh dilaksanakan sama ada sebelum atau selepas pembentangan Belanjawan 2023, pada Oktober ini.

Malah, kerajaan yang di­terajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut diramal mampu meraih soko­ngan rakyat jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, di sebalik kontroversi kes mahkamah melibatkan kepemimpinan UMNO.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, Ismail Sabri merekodkan pencapaian positif sepanjang setahun mentadbir negara termasuk terbaharu mengenai hadiah yang bakal menanti penjawat awam pada 30 Ogos ini.

“Berdasarkan buku laporan PM, kita nampak ada beberapa perkara bagus yang dicapai antaranya pada fasa akhir pandemik, tiada lagi kes kematian yang serius atau tekanan di hospital, bahkan harga barangan juga makin pulih dan bekalan tidak lagi terputus.

“Memang kita nampak ada keadaan ekonomi yang kembali stabil dan jika kerajaan mahu mengadakan PRU15, dijangka tempohnya tidak jauh dari sekarang,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Ismail Sabri me­ngumumkan khabar gembira buat penjawat awam yang akan diumumkan pada 30 Ogos ini sebagai menghargai pengorbanan golongan itu selama ini.

Menurut Mazlan, walaupun mampu meraih sokongan pada PRU15, kerajaan dijangka berdepan sedikit cabaran terutama dalam isu-isu integriti termasuk projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, negara meraih pertumbuhan memberangsangkan pada suku pertama dan kedua tahun ini iaitu 5 dan 8.9 peratus

Katanya, perkembangan itu memberi peluang untuk kerajaan menghargai sumbangan penjawat awam dalam bentuk insentif yang akan diumumkan akhir bulan ini.

“Seelok-eloknya sebelum pem­bentangan Bajet 2023, supaya tahun depan kerajaan baharu boleh fokus untuk melaksanakan Bajet 2023 dan RMK12. Kalau tak sempat, selepas pembentangan Bajet 2023.

“Bagi saya, jika PRU15 dibuat tahun depan, dikhuatiri banyak masa terbuang untuk berkempen sekali gus menyebabkan inisiatif di bawah Belanjawan 2023 lambat dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN