ALOR GAJAH: Padah membawa muatan yang tidak dibenarkan, sebuah syarikat pengangkutan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar syarat permit Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Tiong Soon Trading & Transport Sdn. Bhd. selaku orang kena saman (OKS) yang diwakili Syahril Syafruddin, selepas mengaku bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, OKS didapati secara berasingan membawa barangan yang tidak dibenarkan iaitu konkrit menggunakan dua buah lori treler di Kilometer 205, Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) dalam daerah Alor Gajah pada 7 Februari 2021, kira-kira pukul 6.30 petang.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 57 (1) (b) (iii) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 57 (3) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPJ Melaka, Mohd. Hairen Rahim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan tersebut.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar denda minimum diberikan dengan alasan terpaksa membawa barang tersebut kerana tidak dapat mencari kenderaan yang sesuai.
Mahkamah kemudian menetapkan denda masing-masing sebanyak RM2,000 dan RM2,500 bagi setiap pertuduhan atau penjara tiga dan empat bulan jika gagal berbuat demikian.
OKS kemudian membayar denda tersebut. – UTUSAN










