PETALING JAYA: Tiada sebarang perbincangan antara UMNO dan Pas bagi ‘menyuburkan’ kembali Muafakat Nasional (MN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kedua-dua parti itu sudah lama tidak duduk semeja.
“Tiada apa-apa perbincangan tentang kerjasama untuk PRU15, untuk MN juga sudah lama tiada perbincangan. Apa yang dibangkitkan mungkin cadangan peribadi semata-mata.
SEPAKAT
“Seperti yang dimaklumkan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada Mac lalu, kita kekal dengan pendirian untuk bergerak solo pada PRU15. Itu kata sepakat dicapai UMNO,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki yang memaklumkan Pas dan UMNO bersetuju kedua-dua parti tidak bertembung di tiga kerusi Parlimen pada PRU15.
Kata Mohd. Zuhdi, rundingan itu adalah di peringkat Parlimen yang membabitkan pimpinan akar umbi Pas dan UMNO sebelum dibawa ke peringkat tertinggi untuk diputuskan.
Tanpa menjelaskan tiga kerusi Parlimen berkenaan, beliau berkata, langkah itu akan diteruskan di 24 kawasan lain supaya kerusi yang berisiko tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, UMNO sebelum ini telah mencuba sehabis baik untuk cuba menyelamatkan MN termasuk menawarkan kerusi kepada Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Tetapi salam UMNO ditolak oleh Pas. Mereka lebih selesa untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Saya fikir, pengalaman di Melaka dan Johor beri pengajaran kepada mereka sehingga timbul cadangan untuk berbincang.
“Jadi sekarang, kita kekal dengan apa yang diputuskan kepimpinan tertinggi iaitu Barisan Nasional (BN) bergerak solo pada PRU15,” katanya.
JANGKAAN
Di Selangor, Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi mengakui sudah lebih sebulan tiada pertemuan rasmi antara kedua-dua parti, sekaligus menguatkan jangkaan BN akan bergerak solo dalam PRU-15 nanti.
“Resolusi antara Pas dan UMNO di Selangor masih berjalan walaupun lebih sebulan tidak bermesyuarat. (Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor) Tan Sri Noh Omar masih positif dengan penyatuan ummah di negeri ini.
“Pas Selangor kekal dengan keputusan Pas Pusat penyatuan ummah bersama UMNO dan Bersatu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Di Pahang, kenyataan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari memberikan gambaran bahawa tiada kerjasama antara parti itu dan UMNO.
Kelmarin, Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengajak penyokong PKR dan Pakatan Harapan (PH) memberi undi kepada calon Pas di Pahang dalam PRU15 untuk mengalahkan BN.
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd. Farid Mohd. Nor lega kerana akhirnya Pas menzahirkan impian mereka yang selama ini menjadi tanda tanya dan polemik.
Beliau berkata, Pas berhak memilih haluan dan menentukan dengan siapa mereka mahu berkawan, begitu juga UMNO.
Di Perlis, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rusdi Omar berpandangan, UMNO dan Pas sudah boleh bersedia bertembung dalam PRU15.
Katanya, MN sudah tidak boleh diselamatkan lagi.
Dalam masa sama, katanya, Pas juga sebenarnya sudah terperangkap apabila lebih memilih bersama PN sedangkan MN sudah cukup kuat untuk menang PRU15.
“Mahu tidak mahu terpaksa teruskan sahajalah bersama PN walaupun sedar ia satu kesilapan,” katanya. – UTUSAN










