BN Johor cadang Pasir Gudang, Pengerang diiktiraf daerah baharu

BN Johor cadang Pasir Gudang, Pengerang diiktiraf daerah baharu

MOHAMAD Hassan bersama Datuk Hasni Mohamad, Datuk Hishamuddin Hussien, Datuk Khalef Nordin, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Datuk Ahmad Maslan hadir pada Majlis Perjumpaan Pengarah Plihanraya BN Bersama Jentera Pilihanraya Johor di Hotel Opero, Johor Bahru disini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri diminta mempertimbangkan untuk mengiktiraf Pasir Gudang dan Pengerang sebagai daerah baharu dalam negeri ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, saranan  itu termasuk dalam usaha untuk melakukan reformasi politik dan disenarai dalam Ikhtiar BN semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac lalu.

Katanya, dua kawasan berkenaan sudah menepati kriteria yang diperlukan untuk menjadi sebuah daerah.

“Pertambahan daerah ini ada dalam Ikhtiar BN apabila kita sebut tentang reformasi politik, ini kerana kita dapat lihat pada kawasan berkenaan berlaku penambahan pengundi yang ketara. Jadi, salah satu cara untuk beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat adalah dengan mengiktiraf kawasan tersebut sebagai sebuah daerah.

“Saya ingin cadangkan kepada Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) dan juga kerajaan Pusat agar dapat mempertimbangkan dua kawasan ini dapat dijadikan daerah, Pasir Gudang dan Pengerang.

“Cadangan ini memandangkan naratifnya di kawasan tersebut membuat pelaburan besar oleh Petronas ataupun syarikat swasta lain. Jadi, saya kira itu merupakan dua kawasan yang harus kita bangunkan,” katanya dalam sidang akhbar  selepas menghadiri perjumpaan dengan Jentera BN Johor, di Hotel Opero, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Asojan dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Bagaimanapun, Hasni yang juga bekas Menteri Besar Johor memaklumkan terdapat beberapa perkara sensitif yang perlu diambil kira sebelum inisiatif berkenaan dapat diiktiraf dan langkah berkenaan juga tidak melibatkan persempadanan semula Parlimen sedia ada.

Sementara itu, Onn Hafiz memberitahu, kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan berkenaan.

“Insya-Allah cadangan baik daripada parti akan kita pertimbang dan perhalusi, namun dalam mewujudkan daerah baharu, ada beberapa perkara sensitif yang kita perlu perhalusi dan berbincang dengan pelbagai pihak. Jika ia boleh dilaksanakan, Insya-Allah akan dilaksanakan,” jelasnya ringkas.

Ketika ini, terdapat 10 daerah dalam negeri Johor, iaitu Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing, Kulai, Segamat, Tangkak, Kluang dan Muar. –UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN