YAN: Belum reda isu banjir lumpur di Baling yang melanda banyak kampung sejak awal bulan lalu, penduduk daerah ini yang pernah terkesan dengan ‘Tragedi Jerai’ tahun lalu, kembali menyuarakan kebimbangan mereka.
Mereka mendakwa terdapat aktiviti pembersihan hutan sedang dilakukan di kaki Gunung Jerai berdekatan kawasan Rekreasi Titi Hayun, di sini.
Tinjauan mendapati, kawasan yang dibersihkan itu dipasang papan tanda memaklumkan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), namun tiada sebarang notis pemberitahuan mengenai jenis projek yang bakal dijalankan di situ nanti.
Kerisauan mereka itu timbul ekoran masih dibayangi tragedi kepala air dan banjir yang membadai beberapa kampung di Mukim Yan, pada 18 Ogos tahun lalu berulang lagi pada masa depan.
Seorang penduduk dari Kampung Setol, Sabariah Saad, 53, berkata, aktiviti pembersihan hutan itu mula disedari penduduk kira-kira dua minggu lalu selepas melihat air sungai bertukar menjadi keruh ketika hujan lebat di kawasan tersebut.
Menurutnya, dia dan suami, Zahari Ibrahim, 54, berasa hairan selepas melihat air sungai yang jernih menjadi keruh dan lantas pergi meninjau ke kawasan Titi Hayun sebelum mendapati terdapat aktiviti pembersihan hutan di kawasan tersebut.
“Kami terkejut apabila melihat kawasan hutan berdekatan jalan masuk ke Titi Hayun itu sudah dibersihkan.
“Susulan itu kami telah membuat aduan mengenai perkara ini kepada pihak berkuasa namun tiada sebarang maklum balas yang kami terima dan aktiviti pembersihan hutan tersebut masih giat dilakukan sehingga kini.
“Kami bimbang jika projek ini diteruskan tanpa kawalan akan mengundang musibah kepada penduduk kampung pada masa depan,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi penduduk, Marshirul Umar, 40, berkata, dia difahamkan kawasan tersebut bakal dijadikan kawasan penanaman pokok durian Musang King namun perkara itu belum dapat dipastikan lagi.
Katanya, penduduk kesal kerana projek tersebut dilakukan di kawasan yang berisiko bencana alam selain keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini termasuk menjelang musim Monsun Timur Laut yang dijangka penghujung bulan ini.
“Kawasan bukit yang baru ditarah akan runtuh ketika hujan lebat dan tanah masuk ke dalam sungai berhampiran.
“Sungai Titi Hayun menjadi semakin cetek selepas tragedi kepala air tahun lalu dan apabila ditambah lagi dengan sisa runtuhan tanah tersebut akan menyebabkan sungai bertambah cetek dan boleh mengundang kepada banjir kilat jika berlaku hujan lebat,” ujarnya.
Katanya, penduduk berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah tersebut demi keselamatan penduduk setempat.
Dalam tragedi tahun lalu, enam nyawa terkorban ekoran dihanyutkan aliran air deras akibat kepala air dari Gunung Jerai. Beberapa kampung turut terbabit dalam kejadian itu antaranya Kampung Acheh, Setol, Rendang Pasir, Tohor, Manggis, Seberang Pekan Yan, Lubok Boi, Titi Bakong, Perumahan Awam Titi Bakong, Pekan Yan, Pantai Murni dan Kampung Permatang Keramat.










