Aktiviti curi pasir di Yan tidak betul - Sanusi  - Utusan Malaysia

Aktiviti curi pasir di Yan tidak betul – Sanusi 

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (dua dari kiri) menyerah replika cek zakat PKNK kepada Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Zakat Kedah, Datuk Norizan Khazali pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan PKNK di Wisma Darul Aman Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah menafikan berlaku kegiatan mencuri pasir di perairan dekat Yan, sebaliknya aktiviti itu mendapat kelulusan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di perairan milik  Persekutuan.

 Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya sudah menerima maklumat tersebut termasuk dokumen kelulusan yang diberikan kepada sebuah syarikat melibatkan pelantar yang diluluskan oleh Pusat.

 “Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah sudah melaporkan kepada saya mengenai perkara ini, kelulusan aktiviti ini daripada kementerian itu. Mereka ada had iaitu perlu melebihi tiga batu nautika dari kawasan pulau kerana ini sempadan perairan hak milik kerajaan negeri.

 “Selepas tiga batu nautika, ia adalah perairan di bawah  Persekutuan, menerusi Mesyuarat Exco, kementerian ini hantar satu kertas bahawa ada kelulusan diberikan kepada syarikat terlibat untuk ambil pasir di kawasan Persekutuan dan itu diuruskan oleh kerajaan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan PKNK di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

 Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai dakwaan sekumpulan nelayan termasuk pengusaha bot pelancongan di Yan yang mendakwa mereka terjejas akibat aktiviti perlombongan pasir berhampiran beberapa pulau di situ.

 Aktiviti itu dikesan dilakukan di sekitar Pulau Bidan, Pulau Songsong, Pulau Telor dan Pulau Dayang Bunting, yang dikhuatiri akan memberi kesan buruk terhadap pembiakan ikan dan ekosistem di sekitar kawasan berkenaan.

 Muhammad Sanusi memaklumkan, dakwaan tersebut tidak tepat dengan menggambarkan seolah-olah terdapat kegiatan curi pasir di kawasan pulau berkenaan.

 “Kalau mereka tak turun ke laut memang pendapatan terjejas, kadang bimbang lebih-lebih, kawan itu (kapal korek) tak kacau apa pun, sedut pasir tempat lain, dia dok kata kapal yang sebelah tu (sebabkan) tak boleh pi ke laut.

 “Macam-macam juga lah orang ni ya, tohmahan, sangkaan, kadang-kadang hendak buat isu nak bagi hingaq (bising) orang curi pasir tak betul,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN