Abdul Khalid tokoh disegani

Abdul Khalid tokoh disegani

Orang ramai mengaminkan doa selepas selepas solat jenazah Abdul Khalid Ibrahim di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam. - UTUSAN/ ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disifatkan seorang yang berdisiplin tinggi apabila sangat mementingkan masa serta tegas dalam melakukan urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Allahyarham Abdul Khalid sentiasa mahu setiap kerja mesti melalui proses dan dilaksanakan mengikut cara yang betul.

Amirudin yang pernah menjadi Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan ketika era kepemimpinan Abdul Khalid berkata, Allahyarham seorang yang berdisiplin tinggi.

“Allahyarham sentiasa mahu setiap kerja yang dibuat mesti melalui proses yang betul. Setiap arahan yang diberikan Allahyarham kepada Exco negeri perlu dilaksanakan dengan betul,” katanya di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam.

Sementara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli menghadiri istiadat pengkebumian bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Makam Diraja selepas solat jenazah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira pukul 2.30 petang. Turut berada pada upacara pengkebumian itu ialah balu Allahyarham, Puan Sri Salbiah dan ahli keluarga.

Turut kelihatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad

Selain itu, anggota Kabinet yang turut memberikan penghormatan terakhir ialah Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim berkata, pentadbiran Allahyarham pada 2008 hingga 2013 banyak mengubah cara kerja perkhidmatan awam mengikut tadbir urus syarikat korporat sekali gus menyebabkan Selangor menjadi negeri berpotensi di negara ini.

“Saya banyak berurusan dengan Allahyarham ketika menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada 2011. Memang Allahyarham seorang yang profesional dan melakukan banyak kerja untuk membangunkan Selangor,” ujarnya.

Bekas Setiausaha Politik, Faekah Husin memaklumkan Allahyarham bukan sahaja seorang Menteri Besar yang merakyatkan ekonomi Selangor, bahkan tokoh korporat berpengalaman luas dan berjasa kepada negara.

“Antara jasanya ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di PNB dan Guthrie, ramai usahawan menjadi jutawan. Ketika berkhidmat di PNB, beliau menyebabkan dividen Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) mencecah 12 hingga 13 peratus.

“Selepas rampasan Guthrie yang dilakukannya bersama pasukan lain dalam gerakan digelar Dawn Raid oleh British, Abdul Khalid berjaya peroleh ratusan ribu hektar tanah di Indonesia sehingga Guthrie menjadi syarikat multi bilion,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Khalid menghembuskan nafas terakhir di Hospital Vascular Central Kuala Lumpur selepas mendapatkan rawatan akibat jangkitan kuman pada injap jantungnya.

Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu dan mengalami kemerosotan kesihatan apabila jangkitan kuman pada paru-paru selepas menjalani rawatan dialisis kerana kegagalan buah pinggangnya kira-kira tiga tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN