5 beranak sehelai sepinggang rumah roboh dihempap pokok tumbang - Utusan Malaysia

5 beranak sehelai sepinggang rumah roboh dihempap pokok tumbang

RUMAH Helda Mohd. Salleh yang musnah dihempap pokok dalam kejadian ribut di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru, Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lima beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Melayu Pandan, di sini roboh dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut dan hujan lebat Jumaat lalu. 

Dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, suri rumah, Helda Mohd. Salleh, 49, tidak sempat menyelamatkan barang-barang berharga kerana kejadian berlaku terlalu pantas.

Ketika kejadian, dia dan suami, dua anak dan seorang cucu lelaki berada di rumah.

“Secara tidak semena-mena, sebatang pokok tumbang hempap rumah. Kebetulan cucu berusia tiga bulan ada di bahagian depan rumah berhampiran pintu, maka kami semua lari keluar rumah dan menumpang di rumah jiran.

“Selepas itu, penduduk kampung datang membantu memotong dahan yang jatuh atas bumbung. Ketika itu, ada dahan lain yang jatuh dan menghempap rumah hingga mengakibatkan rumah kami roboh,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.

Jumaat lalu, kira-kira 50 kediaman di Flat Ros Merah, Taman Johor Jaya dan beberapa rumah di Kampung Melayu Pandan dilanda ribut dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya.

Seramai 18 keluarga mangsa ribut di PPS berkenaan akan ditempatkan sementara ke PPR Pelangi Indah sehingga hujung tahun bermula hari ini. 

Seorang lagi mangsa, Muhammad Farhan Kassim, 28, yang tinggal di tingkat empat rumah pangsa tersebut lega kerana semasa kejadian dia, isteri serta anaknya berusia enam tahun tiada di rumah.

“Pada ketika itu, saya dalam perjalanan balik ke rumah dari Pasir Gudang manakala isteri sedang bekerja dan anak pula di rumah pengasuh.

“Kejadian itu amat mengejutkan kami sekeluarga, ia menyebabkan perabot dan perkakas rumah semuanya musnah dengan anggaran kerugian berjumlah RM10,000,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Bagi Shahrom Hassan, 57, yang juga tinggal di tingkat empat rumah pangsa berkenaan pula menyangka berlaku gempa bumi pada waktu kejadian kerana bunyi dentuman yang sangat kuat.

“Saya bersama-sama cucu lelaki berusia 15 tahun terus menyelamatkan diri ke tangga di bahagian bawah rumah pangsa ini. Tidak ada barang yang sempat kami selamatkan dan alami kerugian kira-kira RM15,000.

“Saya bersyukur kerana dapat berteduh di PPS tersebut dan sekarang di PPR ini, harap proses baik pulih rumah kami dapat dilakukan segera, terima kasih kepada semua pihak yang membantu terutamanya kerajaan negeri,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN