PETALING JAYA: Seramai 216 pegawai lantikan kontrak ditawarkan peluang mengikuti Program Pengajian Kepakaran Sarjana Perubatan, Sarjana Pergigian dan Program Parallel Pathway bagi Sesi Akademik Tahun 2022/2023.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tawaran itu dibuat menerusi Program Latihan Kepakaran (PLK) dengan Biasiswa Kementerian Kesihatan.
“Tawaran ini adalah yang pertama kali diberikan kepada pegawai lantikan kontrak sejak skim lantikan kontrak diwujudkan pada tahun 2016.
“Tawaran program pengajian kepakaran dengan tajaan menerusi PLK ini juga adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri untuk mewujudkan laluan kerjaya yang setara antara pegawai lantikan tetap dan pegawai lantikan kontrak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Secara keseluruhan, menurut Khairy, seramai 1,347 pegawai berjaya dipilih dan ditawarkan mengikuti program pengajian kepakaran bagi sesi kali ini.
“Seramai 1,232 pegawai telah ditawarkan ke Program Pengajian Kepakaran Sarjana Perubatan, seramai 54 pegawai ditawarkan Sarjana Pergigian, manakala 61 pegawai lagi ditawarkan ke Program Parallel Pathway,” katanya.
Selaras dengan pengumuman keputusan hari ini, pegawai boleh menyemak menerusi laman sesawang sistem eHLP di alamat http://ehlp.moh.gov.myberhubung status permohonan tawaran Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) dengan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dan PLK dengan Biasiswa Kementerian Kesihatan bagi pegawai yang berjaya mengikuti Program Pengajian Kepakaran.
Permohonan untuk mengikuti program tersebut bagi Sesi Akademik 2023/2024 akan dibuka pada Oktober 2022.- UTUSAN










