15 undang-undang syariah bertindih Kanun Keseksaan

15 undang-undang syariah bertindih Kanun Keseksaan

TERDAPAT undang-undang khusus yang melindungi hak suami atau isteri dalam berumahtangga. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terdapat 15 undang-undang kesalahan jenayah bertindih dengan Kanun Keseksaan sekali gus menyukarkan tindakan perundangan untuk diambil terhadap pesalah beragama Islam di bawah mahkamah syariah.

Antaranya adalah menghina agama, perbuatan sumbang mahram, hubungan semasa jantina dan memujuk lari perempuan berkahwin sedangkan kesemua terkandung di bawah Kanun Keseksaan yang menyaksikan pertuduhan boleh dibuat di mahkamah sivil.

Keadaan itu menyebabkan penggubalan undang-undang syariah digubal di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan di mana undang-undang sivil mengatasi berbanding akta atau enakmen syariah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan Mohamed Haniff Khatri berkata, secara asasnya Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan pendakwaan dua kali atau double jeopardy apabila seseorang pesalah tidak boleh dihadapkan sekali gus ke mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Justeru kata beliau, sekiranya kesalahan itu mempunyai fakta kes yang sama, pendakwaan akan diteruskan di mahkamah sivil yang dilihat mempunyai ruang lingkup lebih meluas.

“Mengambil contoh kes Iki Putra mencabar kes pendakwaan kes liwat di mahkamah pada sebelum ini, walaupun tiada pihak mengatakan undang-undang syariah tidak sah kerana bertindih namun secara mudahnya keputusan Mahkamah Persekutuan menunjukkan perundangan itu tidak sah jika isi kandungan menyentuh undang-undang jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

“Dalam soal ini, bukan isu bertindih atau sebaliknya tetapi Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa undang-undang Persekutuan mengatasi undang-undang Syariah,” katanya.

Polemik percanggahan undang-undang jenayah sivil dan syariah sering berlaku kebelakangan ini sehingga menimbulkan pertindihan mahkamah diutamakan untuk mendengar pertuduhan sedangkan kedua-dua akta itu mempunyai persamaan.

Misalnya undang-undang menghina Islam juga terdapat dalam Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Selain konflik undang-undang membabitkan kes Iki Putra yang pernah mencabar pendakwaan liwat di ke Mahkamah Persekutuan, isu sama membabitkan berlaku ke atas dakwaan wanita hina Islam, Siti Nuramira Abdullah apabila Jabatan Pendakwaan Syarie Wilayah Persekutuan memaklumkan pihaknya tidak meneruskan pendakwaan ke Mahkamah Syariah.

Sebaliknya, Mohamed Haniff berpandangan, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda dengan menambahbaik bidang kuasa negeri di dalam membuat perundangan sejajar usaha mengelakkan konflik perundangan di samping mengharmonikan bidang kuasa institusi mahkamah sivil dan syariah.

“Tiada penyelesaian yang sesuai, kecuali Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan segera yang mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, pakar undang-undang syariah, Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berpandangan sekiranya melibatkan orang Islam, adalah sesuai dihadapkan ke mahkamah syariah dan bukannya mahkamah sivil.

Hal ini kerana katanya mahkamah syariah boleh juga menambah hukuman agar pesalah mesti melalui proses pemulihan dengan tujuan mendidik pesalah.

Sebaliknya, beliau yang juga Ketua Pengarah Institusi Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menjelaskan seseorang pesalah tidak boleh dihadapkan ke mahkamah sivil dan pada masa sama mahkamah syariah meskipun membabitkan tuduhan yang sama kerana timbul isu pendakwaan dua kali.

Katanya, perkara itu menimbulkan kebimbangan sekiranya pihak peguam bela pesalah mencabar pendakwaan di mahkamah syariah ke Mahkamah Tinggi kerana pernah telah didakwa di mahkamah sivil.

“Namun berhubung kes wanita hina Islam, saya melihat tindakan Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan adalah tepat bagi mengelakkan cabaran kes di Mahkamah Persekutuan pada masa akan datang.

“Tetapi saya lebih suka sekiranya pendakwaan dibawa ke mahkamah syariah kerana ia lebih mendidik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN