PUTRAJAYA: Sejumlah 1,028 pusat jagaan didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara sekali gus boleh diarah tutup, dibatalkan pendaftaran, dikenakan kompaun atau boleh didakwa.
Perolehan itu direkodkan menerusi satu operasi pemutihan yang dijalankan terhadap pusat-pusat jagaan itu melibatkan kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas, wanita dan pelbagai iaitu membabitkan lebih dari satu kategori kumpulan sasar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, setakat 15 Ogos lalu, sebanyak 315 daripada pusat jagaan tidak berdaftar itu selesai diambil tindakan melibatkan 102 buah diperakukan pendaftarannya, manakala 213 menghentikan terus operasi, manakala selebihnya dalam proses tindakan penguatkuasaan.
“Tiada seorang pun atau mana-mana pihak boleh mengendalikan atau mengambil bahagian dalam pengurusan sesuatu pusat jagaan yang tidak didaftarkan sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 5(1) Akta 506.
“Jika sabit kesalahan, pengendali pusat jagaan berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Dalam hal sesuatu kesalahan berterusan, boleh sebagai tambahan, dikenakan denda harian tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari yang kesalahan itu berterusan,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur di Setapak yang dikenali sebagai Rumah Bonda dikenakan tindakan penutupan pada 12 Julai 2021 selepas menerima Notis Lak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) kerana tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.
Rumah Bonda juga telah dikompaun sebanyak RM5,000 pada 20 April dan telah pun membuat pembayaran penuh kompaun tersebut pada 25 April lalu.
Dalam pada itu, Shaharuddin berkata, sehingga kini terdapat 1,923 pusat jagaan berdaftar dengan JKM melibatkan 1,259 pusat jagaan kanak-kanak; OKU (216); warga emas (385); wanita (11) dan pelbagai (52).
Beliau berkata, sesebuah pusat jagaan hendaklah berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 agar pengendali sesebuah pusat jagaan tersebut dapat memberikan perkhidmatan penjagaan dan perlindungan terbaik dan mengikut standard ditetapkan.
Bagi tujuan itu, JKM sentiasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan ke atas pusat jagaan yang berdaftar sekurang-kurangnya sekali bagi setiap enam bulan bagi memastikan semua pusat jagaan ini sentiasa mematuhi standard minimum ditetapkan.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, bagi mana-mana pusat jagaan yang berdaftar tetapi tidak mematuhi Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] dan Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan.
Jelasnya, pusat jagaan berkenaan boleh diarah tutup, dibatalkan pendaftaran, dikenakan kompaun atau boleh didakwa.
Jika sabit kesalahan, pengendali pusat jagaan berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
“Pegawai Diberi Kuasa yang dilantik sebagaimana peruntukan Akta Pusat Jagaan 1993 boleh membuat pemeriksaan berkala ke atas pusat jagaan berdaftar.
“Pegawai Diberi Kuasa ini adalah pegawai yang diberikan latihan dan kepakaran bagi melakukan pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan ke atas pusat jagaan.
“JKM juga dalam proses pengstrukturan semula jabatan untuk memperkasa bidang penguatkuasaan bagi memastikan aspek pematuhan terhadap semua undang-undang yang dikawal selia JKM dapat dilaksanakan lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN










