100 ‘kedai mesin judi’ di Melaka dipotong bekalan elektrik - Utusan Malaysia

100 ‘kedai mesin judi’ di Melaka dipotong bekalan elektrik

PEGAWAI TNB memotong bekalan elektrik sebuah premis di Taman Semabok Perdana, Melaka yang disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian dalam operasi bersepadu bersama JSJ IPK Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 100 premis di Melaka yang dikesan menjalankan kegiatan judi dalam talian diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik sepanjang Januari hingga Julai tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Samah berkata, daerah Melaka Tengah mencatatkan kes tertinggi dengan pemotongan di 65 premis diikuti Jasin sebanyak 18 premis dan Alor Gajah, 17 premis.

Beliau berkata, pemotongan dilakukan mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) dengan tujuan mengelakkan premis berkenaan aktif semula dan terus menjalankan aktiviti perjudian.

“Premis-premis ini dikesan menjalankan kegiatan perjudian online (dalam talian) dengan berselindung di sebalik perniagaan barangan telefon bimbit bagi mengaburi pihak berkuasa. 

“Siasatan polis juga mendapati, kesemua premis tersebut pernah diserbu beberapa kali sebelum ini tetapi pemilik dan penjaga premis masih berdegil,” katanya dalam kenyataan selepas operasi bersepadu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Operasi melibatkan kekuatan seramai lapan pegawai dan 20 anggota polis serta 15 pegawai TNB itu menyasarkan beberapa premis di seluruh negeri ini.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai usaha pembanterasan judi dalam talian, Zainol menjelaskan, dalam tempoh sama tahun ini, sebanyak 60 laman sesawang berkaitan  diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM) bagi tujuan sekatan.

“Polis Melaka juga bekerjasama dengan SKMM bagi menyekat laman-laman sesawang perjudian daripada dilayari oleh pengunjung. Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti perjudian dan konsisten membanteras aktiviti ini daripada berleluasa,” tegasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya