Umat Islam di Perlis sambut raya korban seperti biasa - Utusan Malaysia

Umat Islam di Perlis sambut raya korban seperti biasa

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Umat Islam di Perlis boleh meraikan sambutan Aidiladha dan melaksanakan ibadah korban pada tahun ini seperti biasa dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, semua masjid, surau berdaftar, jabatan kerajaan serta badan bukan kerajaan dibenarkan menganjurkan ibadah korban mengikut SOP kesihatan ditetapkan pihak berkuasa.

Titah baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), penyembelihan haiwan korban hanya boleh dilakukan di rumah sembelihan milik kerajaan dan swasta.

“Selain itu, masjid, surau berdaftar dan premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri turut dibenarkan.

“Semua penganjur yang menguruskan ibadah korban perlu membuat semakan penyediaan tempat yang sesuai untuk tujuan pelaksanaan proses penyembelihan, melapah, memotong dan mengagihkan korban,” titah baginda.

Baginda bertitah, kriteria tempat sembelihan haiwan korban perlu bersih, tidak tercemar serta mempunyai pengudaraan yang baik. Acara jamuan atau kenduri adalah dibenarkan seperti biasa.

Menyentuh mengenai tatacara solat Aidiladha pada tahun ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, solat Aidiladha di seluruh negeri digalakkan dilaksanakan di tanah lapang sekitar pukul 8 pagi seperti sebelum ini.

Titah baginda, pemilihan tanah lapang berkenaan adalah tertakluk ketetapan jawatan kuasa kariah masjid masing-masing di seluruh Negeri Perlis.

“Pelaksanaan ini selaras dengan sunnah baginda Rasulullah SAW selain dapat mengurangkan risiko jangkitan, dibandingkan solat yang ditunaikan di tempat tertutup.

“Bagaimanapun, jawatan kuasa kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan, bergantung kepada ruang dan bilangan jemaah yang hadir,” titah baginda.

Selain itu, baginda meminta jemaah agar sentiasa patuh kepada SOP seperti memakai pelitup separuh muka. Jemaah juga dibenarkan bersalaman, namun, tidak menyentuh muka serta sentiasa membasuh dan mencuci tangan.

Bagaimanapun, pelaksanaan solat Aidiladha di mana-mana surau atau dewan orang ramai tanpa kelulusan pihak berkuasa agama kekal tidak dilaksanakan bagi mengurangkan risiko.

Baginda berharap, sambutan Aidiladha kali ini mengingatkan umat Islam mengenai semangat berkorban yang harus dihayati dan diterapkan dalam kehidupan seharian.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Raja Perempuan Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1443H. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN