MELAKA: Seorang peniaga di Pantai Klebang di sini tidak menyangka keputusan menukar perniagaan pakaian kepada makanan memberikannya pendapatan yang stabil dan lumayan.
Pemilik Gerai Sosej Champa Kemboja, Umi Kalsom Ibrahim berkata, perniagaan pakaiannya terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memandangkan ketika itu hanya perniagaan berasaskan makanan sahaja dibenarkan beroperasi.
Justeru, katanya, dia cuba mengetengahkan resipi tradisi keluarga iaitu sosej Kemboja atau tongmo yang semakin digemari rakyat Malaysia.
“Saya sebenarnya berniaga pakaian dan ketika Covid-19 melanda negara, baju-baju yang saya jual semua tak laku. Baju memang tidak boleh jalan (jual) masa itu.
“Saya buat keputusan untuk tukar kepada makanan iaitu tongmo. Alhamdulillah, tongmo yang saya hasilkan sendiri mendapat sambutan baik terutama daripada pelancong yang datang beriadah di Pantai Klebang.
“Jualan saya mencecah 300 cucuk tongmo sehari terutamanya pada hujung minggu. Saya mula berniaga pada pukul 12 tengah hari hingga 8 malam dan akan tutup awal jika tongmo habis dijual,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Umi Kalsom yang berasal dari Kemboja dan telah berkahwin dengan orang tempatan menambah, tongmo yang dihasilkannya sangat istimewa kerana ia adalah resipi warisan keluarga.
“Rempah, gula serta daging perlu digaul sebati, sukatannya mesti tepat dan perlu dibakar sekurang-kurangnya 15 minit,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE