Tidak berganjak walau seinci pertahan kedaulatan negara - PM

Tidak berganjak walau seinci pertahan hak, kedaulatan negara – PM

ISMAIL Sabri Yaakob ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Persidangan Keselamatan Negara 2022 (PKN'22) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia bertegas tidak akan berkompromi atau berganjak walau seinci pun dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara.

Penegasan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu juga bermakna kesemua aset milik kerajaan atau mana-mana agensi berkaitan kerajaan (GLC) akan dipertahankan dan dilindungi dari segi perundangan.

Pada masa sama, kata beliau, sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan untuk melihat tuntutan Kumpulan Sulu secara menyeluruh selepas mereka sebelum ini menuntut sebanyak AS$14.92 (RM62.59 bilion) daripada Malaysia dan dilaporkan merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

“Bukan setakat aset Petronas sahaja, malah aset-aset lain kita di luar negara. Banyak lagi GLC  mempunyai aset di luar negara dan kita tengok secara menyeluruh. 

“Itu tanggungjawab yang kita berikan kepada pasukan khas ini mengenai (tuntutan) kesultanan Sulu,” katanya selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara dan Sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022, di sini hari ini.

Perdana Menteri memberitahu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan pihak Petronas akan memberikan penjelasan berhubung perkara itu kepada ahli-ahli Parlimen dalam masa terdekat. 

Sebelum ini, Wan Junaidi mengumumkan sebuah Pasukan Khas ditubuhkan bagi menangani isu tuntutan Kumpulan Sulu terhadap kerajaan Malaysia yang diketuai sendiri beliau dan disertai Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun dan pakar-pakar berkaitan timbang tara antarabangsa bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya.

Ia disertai Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun dan pakar-pakar berkaitan timbang tara antarabangsa bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara pula sedang menentukan Terma rujukan (TOR) dan juga keahlian tambahan jika perlu bagi Pasukan Khas ini sebagai satu tindakan proaktif dan agresif dalam menangani isu tersebut demi mempertahankan aset dan kedaulatan negara.

Wan Junaidi sebelum itu memaklumkan, penguatkuasaan ‘Final Award’ dituntut pihak tertentu yang mendakwa sebagai pewaris Sultan Sulu telah pun digantung oleh Mahkamah Rayuan Paris di Perancis.

Mahkamah berkenaan membenarkan permohonan daripada kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan ‘Final Award’ yang bertarikh 28 Februari 2022 lalu.

Kenyataan beliau itu sebagai merujuk penguatkuasaan ‘Final Award’ dikeluarkan Dr. Gonzalo Stampa berikutan tuntutan pihak tertentu yang mendakwa pewaris Sultan Jamalul Kiram II.

Tuntutan berkenaan diputuskan menerusi satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol yang terdahulu telah difailkan oleh kumpulan penuntut terbabit beberapa tahun lalu. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN