Nasib anak mangsa perang di Syria - Utusan Malaysia

Nasib anak mangsa perang di Syria

ANTARA kawasan perumahan yang musnah akibat serangan bom di Al-Bab, Syria. - UTUSAN/METRA SYAHRIL MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JARABULUS, SYRIA: “Tiada siapa mahukan peperangan”.

Demikian kata Mustafa Hassan, 10, secara ringkas kepada Utusan Malaysia ketika bersarapan pagi di kediaman saudara yang terletak bersebelahan rumahnya di Perkampungan Ataa dekat sini.

Perkampungan itu diuruskan Ataa Relief, sebuah pertubuhan kemanusiaan berpangkalan di Turkiye. Ia dibina bagi penempatan semula pelarian Syria berstatus ‘orang pelarian dalaman’ (IDP).

Mustafa antara kanak-kanak yang menjadi mangsa konflik berpanjangan Syria dan tidak tahu-menahu apa itu perang sehingga terpaksa dibawa ibu bapanya, ke sana ke sini mencari tempat perlindungan.

Sudah pasti si ibu, Fatemah, 30, sedang sarat mengandungkan Mustafa ketika perang di Syria memuncak 11 tahun lalu.

MUSTAFA Hassan berdiri di depan kawasan rumahnya di Perkampungan Ataa dekat Jarabulus, Syria. – UTUSAN/METRA SYAHRIL MOHAMED

 

Berasal dari Aleppo, Mustafa kini memanfaatkan kehidupannya sebagai penghafaz al-Quran.

Jarak Aleppo ke Jarabulus sejauh lebih 100 kilometer.

Di perkampungan itu, Mustafa tumpang berteduh bersama ibu dan bapa, Hassan, 33, selain abangnya, Sulaiman, 13; Asra, 12; serta tiga adiknya, Maryam, 6,; Tasneem, 5, dan Muhammad, 1.

Menggunakan bahasa Arab yang mudah, Mustafa sekadar mengangguk apabila ditanya apakah dia mahu berjaya dalam pelajaran dan meneruskan pengajian ke peringkat tinggi, suatu hari nanti.

Di sebalik renungannya di ruang tepi rumah, Mustafa yang memakai jubah berwarna kelabu mahukan Syria yang aman untuknya mencipta masa depan lebih baik, berbanding ketika ini.

Tidak seperti kanak-kanak lain yang pastinya akan berebut-rebut malah ada yang bergaduh ketika diberikan aiskrim atau coklat, Mustafa tidak ambil peduli hal tersebut malah lebih gemar duduk jauh daripada keriuhan.

Perkampungan Ataa di sini memiliki 1,700 unit rumah dan dibuka sejak 2020 selain menempatkan lebih 8,500 orang.

‘TOLONG UBATI MATA ANAK SAYA’

AMINAH Abdullah bersama empat anaknya di Jarabulus, Syria, termasuk yang seorang daripadanya (kanan) menghidap penyakit mata. – UTUSAN/METRA SYAHRIL MOHAMED

Di sebuah rumah yang belum siap dibina sepenuhnya di sebuah kawasan terpencil dekat sini, Aminah Abdullah, 36, membesarkan empat anaknya yang masih kecil, tiga daripadanya adalah kembar.

Bersama suami, Zahir Ibrahim, 35, mereka mengembara dari Deir Ez-Zor, sejauh hampir 300 kilometer, ke Jarabulus kerana perang dan mahukan kehidupan yang lebih selamat.

Dengan pendapatan suami sebagai pekerja buruh yang tidak seberapa, kehidupan mereka di sini penuh dugaan.

“Rumah ini kami sewa dan belum siap sepenuhnya. Tidak mengapa, asalkan ada bumbung, ada dinding, boleh kami berteduh,” katanya.

Aminah ditemui ketika Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave diketuai Ahli Lembaga Penasihat MyCare, Dr. Mohd. Zin Kandar bersama Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam menziarahinya di sini bagi menyampaikan sumbangan.

Wanita cekal ini mengadu: “Tolong ubati mata anak saya (si bongsu)”.

Menurut apa yang diperkatakan Pengurus Projek Ataa Relief, Abdul Aziz Mansour yang juga selaku jurubahasa, kawasan diduduki Aminah sekeluarga tidak memiliki kemudahan kesihatan atau klinik.

YASSIN TAK KENAL AYAH, DITINGGAL IBU

YASSIN Muhammad (tengah) bersama neneknya, Sadiqah Mustafa yang mendapat sumbangan kerusi roda melalui Ataa Relief, MyCare dan Econsave di Jarabulus, Syria. – UTUSAN/METRA SYAHRIL MOHAMED

Lain pula kisahnya si Yassin Muhammad, 10. Tinggal bersama neneknya, Sadiqah Mustafa, 58, di sebuah rumah yang pernah dibom dekat sini, dia tak pernah bertemu bapanya, Muhammad yang meninggal dunia akibat serangan bom pada 2012.

Ketika itu bapanya berusia 25 tahun. Anak yatim ini pula ‘ditinggalkan’ si ibu yang berkahwin lain.

Yassin kemudiannya dijaga Sadiqah yang mengalami kecacatan kaki sejak lahir dan tidak mampu untuk berjalan.

Menurut Sadiqah, suaminya telah meninggal dunia.

“Rumah yang saya diami ini pernah musnah akibat serangan bom dan dibina semula. Saya tinggal di sini bersama seorang anak lelaki bersama tiga cucu termasuk Yassin,” katanya yang juga anak jati Jarabulus.

Disebabkan mengalami masalah kewangan, dia tidak dapat menampung persekolahan Yassin.

TUNGGU ENAM JAM LINTASI SEMPADAN TURKIYE

Terdahulu, Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave berpindah pula ke bahagian Al-Bab, sejauh 82 kilometer dari Jarabulus, melalui pintu sempadan Cobanbey, Turkiye. Pintu sempadan di sini agak ketat kawalannya sehingga memaksa anggota misi menunggu hampir enam jam sebelum dibenarkan melintasi sempadan ekoran isu imigresen.

Misi kemanusiaan kemudiannya menziarahi Sekolah Abu Ubaidah al-Jarrah yang dibina pada 1989 dan turut menempatkan Masjid Abu Ubaidah al-Jarrah.

Misi seterusnya adalah melawat projek telaga air sedalam 350 meter bagi membekalkan air bersih untuk kegunaan 15,000 penduduk di lima buah kampung di Turkmen Bareh, sejauh 31 kilometer dari bandar Al-Bab.

Projek itu dijana melalui kuasa 144 panel solar di bawah pengurusan Ataa Relief dan turut mendapat sumbangan orang ramai termasuk melalui MyCare dan Econsave.

Menurut Pengurus Majlis Perbandaran Al-Bab, Ayoub Ayoub, projek tersebut akan lengkap dan mula beroperasi dalam masa seminggu ini dan ia cukup strategik bagi membekalkan air bersih kepada penduduk.

“Ini kerana sebelum ini penduduk terpaksa membayar 200 lira untuk bil air dan dengan adanya projek ini, mereka hanya perlu membayar 30 lira, hanya untuk bayaran penyelenggaraan dan perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, misi kemanusiaan sempat melihat kesan-kesan serangan bom termasuk kawasan rumah yang musnah keseluruhannya.

Di sebelah malam, tinjauan dilakukan ke Pasar Novotia. Apa yang dimaklumkan, misi kemanusiaan ini merupakan yang pertama bermalam di Al-Bab dan berjalan-jalan di pasar berkenaan pada waktu malam selepas konflik berdarah Syria tercetus pada 2011. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN