Syria bergolak, jangan lupa teruskan belajar

Syria bergolak, jangan lupa teruskan belajar

ABDUL Razak Kash (kanan) berehat sebentar di sebuah kedai runcit yang terdapat di Kem Bunyan Marsus, sebuah penempatan pelarian di Jarabulus, Syria. – UTUSAN/METRA SYAHRIL MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JARABULUS, SYRIA: Ketika konflik Syria ‘menggelegak’ pada 2011 sehingga kini, Abdul Razak Kash, 40, bersama isterinya, Naehil al Ahmad, 35, bergerak dari satu daerah ke daerah lain bagi mencari tempat perlindungan.

Dari Idlib ke Jarabulus, sejauh 250 kilometer, mereka singgah dahulu ke A’zaz, utara Aleppo, selama dua bulan, hidup bergelandangan di kem-kem pelarian.

Nasib tidak menyebelahi Abdul Razak kerana terlibat dalam kemalangan enam tahun lalu menyebabkan kaki kirinya lumpuh dan memerlukan bantuan perubatan segera.

Akhirnya mereka tiba di sini, Kem Bunyan Marsus, dua tahun lalu dan menetap di sebuah kem pelarian yang mendapat perhatian Ataa Relief, sebuah agensi kemanusiaan berpangkalan di Turkiye.

Istimewanya Abdul Razak, biarpun perang dan menetap di kem pelarian, beliau sedang melanjutkan pengajian ijazah sarjana secara dalam talian di sebuah universiti Islam.

“Saya pernah bekerja sebagai pensyarah Bahasa Arab dan merupakan lepasan Universiti Aleppo. Syria bergolak? Aku tak peduli itu semua, sekarang aku mahu belajar dan terus belajar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Abdul Razak ditemui ketika menerima bantuan berupa bekalan makanan dihulurkan Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave diketuai Ahli Lembaga Penasihat MyCare, Dr. Mohd. Zin Kandar bersama Pengurus Besar Econsave, Mas

Imran Adam.

Memiliki enam anak, Abdul Razak mahu menjadi contoh kepada anak-anak pelarian, biarpun hidup susah dan dibelenggu konflik berpanjangan, pelajaran seharusnya diutamakan.

 

‘Alhamdulillah, saya masih hidup’

JARABULUS, SYRIA: “Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, semuanya okay, alhamdulillah, saya masih hidup”.

Ayat itu diungkapkan Tareq Hamad, Pengurus Ataa Relief Wilayah Jarabulus, ketika beliau terselamat dalam serangan bom, dua tahun lalu, di depan rumahnya dekat sini.

Bom jenis C4 itu diletakkan di bawah keretanya dan diletupkan melalui kawalan jarak jauh oleh pihak yang tidak diketahui sehingga kini.

TAREQ Hamad menceritakan mengenai kecederaan dialaminya dalam serangan dua tahun lalu di samping Pengurus Projek Ataa Relief, Abdul Aziz Mansour di Pejabat Ataa Relief Wilayah Jarabulus di Jarabulus, Syria. – UTUSAN/METRA SYAHRIL MOHAMED

Menceritakan detik hitam itu, kejadian berlaku pada pukul 10 malam ketika beliau mahu bergerak ke gudang Ataa Relief yang terletak sekitar dua kilometer dari rumahnya.

Kejadian letupan itu turut disaksikan sendiri oleh isteri, Fatimah Al Kash, 40, dan anak-anaknya.

“Selepas letupan itu, saya pegang kaki dan berkata, alhamdulillah, semua masih ada dan tak berhenti mengucap dua kalimah syahadah. Selepas itu saya tak ingat apa-apa dan terbangun selepas empat jam diwadkan di hospital.

“Apaila dibangunkan doktor, saya rasa tangan, okey, mata, okay, kemudian melihat kaki saya tiada. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, saya bersyukur dan terima takdir oleh Allah. Saya akan terus bantu Syria,” katanya ketika ditemui Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave di pejabatnya di sini semalam.

Misi tersebut diketuai Ahli Lembaga Penasihat MyCare, Dr. Mohd. Zin Kandar dan turut disertai Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam.

Ditanya mengenai firasatnya, mengapa beliau menjadi sasaran serangan, Tareq menjawab, bukan sahaja dirinya, ramai lagi mereka yang terlibat dalam pertubuhan kemanusiaan juga menerima nasib sama.

“Mereka (penyerang) memilih individu utama dalam sesebuah pertubuhan. Ada yang meninggal dunia, ramai yang tercedera,” katanya yang juga seorang peguam.

Berasal dari Manbij kemudiannya berpindah ke Aleppo dan kini menetap di Jarabulus, Tareq menjalani sesi terapi untuk membiasakan dengan kegunaan kaki palsu dan kerusi roda selama enam bulan di sini dan Turkiye.

Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave dibenarkan bermalam di Jarabulus

Sementara itu, Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave dianggotai 10 orang termasuk media merupakan kumpulan pertama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dibenarkan bermalam di Perkampungan Ataa dekat sini. Perkampungan itu dikendalikan Ataa Relief, sebuah organisasi kemanusiaan berpangkalan di Turkiye.

Perkara tersebut di­nyatakan Pengurus Pro­jek Ataa Relief, Abdul Aziz Mansour di sini semalam.

Bagaimanapun, misi tersebut pada awalnya diarahkan keluar sempadan sekitar pukul 6 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) dan balik semula ke Gaziantep, Turkiye.

Hasil rundingan, anggota misi akhirnya dibenarkan kembali se­mula ke perkampungan berkenaan dan bermalam.

Perkampungan Ataa memiliki 1,700 unit rumah dan dibuka sejak 2020.

Misi kemanusiaan itu diketuai Ahli Lembaga Penasihat MyCare, Dr. Mohd. Zin Kandar dan turut disertai Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam; Saadon Suleiman (Pengurus Operasi MyCare) dan dua aktivis wanita MyCare, Rahmah Ali serta Nor Shahidatul Akma Mohd. Noh.

Utusan Malaysia antara wakil media yang turut menyertai misi berkenaan.

Sebelum ini, misi kemanusiaan itu menyerahkan beberapa sumbangan untuk pelarian Syria di Gaziantep, Turkiye dan mereka yang mendiami kem-kem pelarian di A’zaa, Syria.

Laporan oleh Metra Syahril Mohamed yang kini mengikuti Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave di Syria.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya