PETALING JAYA: Malaysia berhak menghentikan wang serahan RM5,300 setahun kepada waris Kesultanan Sulu disebabkan Perjanjian 1878 tidak lagi berasas selepas Sabah bersama-sama membentuk negara ini seperti mana Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Luar, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, bukan sahaja kerajaan mempunyai asas (menghentikan bayaran), sebaliknya sebarang bentuk bayaran kepada waris berkenaan dilihat mengiktiraf kewujudan mereka.
Katanya, bayaran RM5,300 merupakan hasil Perjanjian 1878 antara Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo yang dimeterai sebelum Borneo Utara (Sabah) bersama Persekutuan Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia.
“Sedangkan Perjanjian 1963 yang merupakan hasil referendum rakyat Sabah untuk bersama membentuk Malaysia, iaitu wujud selepas Perjanjian 1878. Maka bayaran itu tiada asas lagi dan kini hanya tinggal dalam lipatan sejarah.
“Jadi mengapa Malaysia perlu bayar sedangkan kita mempunyai hujah dan asas bagi menghentikan bayaran wang kepada waris Sultan Sulu dan perkara ini sepatutnya berlaku sudah lama lagi. Jika memberikan wang ini, waris Sultan Sulu menjadikannya sebagai lunas undang-undang bahawa mereka diiktiraf,” katanya.
Isu tuntutan waris Kesultanan Sulu yang sebelum ini menuntut RM62.59 bilion daripada Malaysia kembali memuncak selepas dilaporkan merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxemborg.
Berdasarkan laporan Financial Times yang berpangkalan di London, pasukan peguam penuntut merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion).
Malaysia sudah menghentikan pembayaran wang serahan berjumlah RM5,300 setahun melalui peguam mewakili sembilan waris Kesultanan Sulu sejak 2013 selepas kes pencerobohan Tentera Kesultanan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 12 Februari tahun sama.
Perkara itu menyebabkan Malaysia didakwa melanggar Perjanjian 1878 dan waris Sultan Sulu kemudian membangkitkan tuntutan di prosiding timbang tara di Madrid, Sepanyol dan Malaysia kemudian diarahkan membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada mereka.
Mahkamah Rayuan Paris minggu lalu membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitarsi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.
Tindakan waris Kesultanan Sulu itu juga pada awalnya dijangka dibawa dalam usul tergempar Parlimen yang bersidang hari ini, namun atas nasihat kerajaan ia difahamkan dibatalkan.
Dalam pada itu, Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, Malaysia tidak boleh memandang remeh terhadap isu tuntutan itu, malah kerajaan harus segera menyusun strategi bagi mengetepikan dan membantah tuntutan demi menjaga kedaulatan negara air.
“Malaysia tidak boleh sekadar tidak mengiktiraf tuntutan itu sebaliknya perkara tersebut perlu dilakukan berdasarkan proses undang-undang demi menjamin keselamatan kedaulatan tanah air dan Sabah sendiri,” katanya.

Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, tuntutan waris Sultan Sulu untuk negara meneruskan bayaran tahunan kepada mereka tamat setelah penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963.
Katanya, perjanjian yang dilakukan oleh Inggeris terbatal apabila pihak itu tidak lagi berkuasa ke atas Sabah.
“Ia bukan perjanjian baharu antara Malaysia dengan waris Kesultanan Sulu. Akan tetapi kita tetap meneruskan bayaran tahunan sedangkan perjanjian itu dibuat oleh pihak Inggeris,’’ katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan wujud pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan.
“Ini dapat dilihat daripada kalangan mereka yang menuntut itu tidak pun boleh dikenal pasti kekerabatan mereka dengan jurai Kesultanan Sulu dengan jitu,’’ ujarnya. – UTUSAN










