KOTA BHARU: Tenaga Nasional Bhd. (TNB) akan memberikan rebat kepada sejuta penggunanya yang terjejas dalam gangguan elektrik pada 27 Julai lalu.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengguna yang terlibat itu melibatkan pemilik akaun domestik, industri serta komersial.
“Saya akan buat pembentangan secara terperinci berkenaan perkara ini dalam sidang Parlimen pada 4 Ogos depan.
“Kejadian tersebut berlaku pada jam 12.39 tengah hari dan berjaya diselesaikan sepenuhnya dalam masa dua jam 21 minit,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu kali ke-55 di hotel H Elite, Tunjung, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, kecekapan TNB yang berjaya memulihkan gangguan tersebut tanpa mengambil masa lama wajar diberikan pujian.
Katanya, gangguan itu dipercayai berpunca daripada percikan arka di pencawang utama di Yong Peng Utara akibat pergesekan tembaga yang menyebabkan berlaku pelantikan.
“Kejadian itu mengakibatkan putus talian yang menyalurkan sumber tenaga dari Johor ke kawasan utara dan tengah Semenanjung.
“Akibat kejadian itu, pihak TNB terpaksa mencatu tenaga di kawasan terlibat. Bagaimanapun, ia tidak melibatkan kawasan tidak kritikal yang melibatkan premis seperti parlimen, hospital, balai polis dan sebagainya,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE