Rakyat tidak perlu ikat perut - Ismail sabri

Rakyat tidak perlu ikat perut – Ismail sabri

ismail sabri
ISMAIL Sabri Yaakob disambut orang ramai pada majlis Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, Perak, semalam. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Kerajaan tidak akan meminta rakyat supaya ‘mengikat perut’ seperti yang disarankan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu berikutan kenaikan kos barangan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob .

Perdana Menteri menegaskan, sebaliknya kerajaan berusaha mencari kaedah membantu rakyat mengatasi kenaikan harga barang menerusi pemberian subsidi terhadap barangan kawalan.

Beliau berkata, kerajaan mengambil tindakan jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barang.

Katanya, antaranya subsidi harga ayam RM700 juta, RM28 bilion untuk subsidi petrol dan diesel serta RM70 bilion subsidi barangan pengguna.

“Kerajaan tak nak menjawab (isu kenaikan harga barang) dalam surat khabar dengan mengatakan ‘oleh kerana ini merupakan fenomena global, jadi kita serah pada global’.

“Tidak, kita tak kata macam itu, itu kerajaan dahulu. PH, Perdana Menteri zaman itu kata apa? Bila harga naik hendaklah ikat perut.

“Itu dulu, tapi kita tak kata macam itu, kita mencari kaedah untuk memastikan rakyat tidak dibebani dengan kenaikan barangan seperti ayam.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita beri subsidi untuk pastikan harga ayam tak naik, kerajaan subsidikan harga ayam RM700 juta,” katanya ketika berucap pada penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah menarik balik subsidi ke atas barangan tertentu seperti yang didakwa oleh parti pembangkang.

Menurutnya, tuduhan pembangkang semua subsidi ditamatkan pada 1 Julai lalu adalah tidak benar.

“Subsidi apa yang ditamatkan? Subsidi terus kekal, subsidi minyak masak kita belanja RM4 bilion untuk pastikan subsidi itu masih diterima oleh rakyat supaya minyak masak kekal pada harga RM2.50 sen.

“Kalau minyak masak tak disubsidi, harganya RM9.50 sekampit atau sekilogram tapi dengan RM4 bilion yang disubsidi kerajaan, harganya masih kekal RM2.50.

“Mereka (pembangkang) terus berbohong, menolak (seperti) tiada tuhan bagi mereka, mereka terus memfitnah mengatakan 1 Julai semua subsidi dibatalkan.

“Sedangkan subsidi minyak masak dikekalkan, subsidi gas memasak di rumah dikekalkan, subsidi petrol dan diesel dikekalkan, tiada apa yang ditarik balik,” katanya.

Ismail Sabri berkata, subsidi daripada kerajaan membantu negara mencatat inflasi lebih rendah iaitu 2.8 peratus berbanding negara lain seperti United Kingdom (9.1 peratus), Amerika Syarikat (8.6), Eropah (8.1 peratus), Thailand (7.1 peratus), Singapura (5.6 peratus) dan Indonesia (3.6 peratus).

“Malaysia masih dapat mengekalkan inflasi yang rendah kerana kita memberikan subsidi untuk pastikan harga barang tidak meningkat.

“Kalau dibiarkan, diapungkan, ditentukan oleh pasaran harga barangan ini, inflasi kita mungkin mencecah lapan hingga 11 peratus.

“Ketika itu mungkin rakyat tak mampu lagi menanggung dari segi kenaikan harga,” katanya.

Laporan Kewangan Rakyat Ke-100 sebelum ini menyebut jumlah keseluruhan subsidi dijangka menghampiri RM80 bilion tahun ini yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah.

Dalam laporan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi mengurangkan tekanan inflasi terhadap rakyat, kerajaan telah memberi pelbagai subsidi kepenggunaan meliputi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik.

Katanya, secara keseluruhan, unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

“Apabila ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti bantuan kebajikan masyarakat, bantuan pertanian, nelayan dan sebagainya, jumlah keseluruhan subsidi dijangka menghampiri RM80 bilion bagi 2022 yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN