BUTTERWORTH: Pulau Pinang mungkin menjadi negeri pertama yang akan mewartakan fatwa berkaitan perbuatan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, pewartaan itu penting bagi memastikan tidak ada lagi mana-mana pihak atau individu berani melakukan perbuatan tersebut selepas ini.
“Saya ingat, insya-Allah kita akan bincang isu ini dari segi kefatwaan dan apabila keputusan dibuat nanti, eloklah ia digazetkan (diwarta),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Isu Kefatwaan Negeri Pulau Pinang 2022 yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.
Sebelum ini, tular satu video menghina Islam di laman sosial menunjukkan seorang lelaki didakwa menghina Allah dan Nabi Muhammad SAW dengan kata-kata makian.
Suspek yang berusia 39 tahun itu bagaimanapun ditahan pukul 12.30 tengah hari kelmarin di sebuah rumah di Taman Bukit Kuchai, Puchong, Selangor.
Terbaharu, seorang lagi lelaki yang dikesan positif dadah memuat naik kandungan video menghina agama Islam turut diberkas polis dalam serbuan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang, Kelantan, semalam.
Dalam pada itu, Wan Salim memberitahu, sehingga kini, sebanyak 71 fatwa secara keseluruhannya digazetkan di Pulau Pinang.
Katanya, berbanding negeri lain, Pulau Pinang dilihat agak terlambat dalam mengeluarkan satu-satu fatwa berhubung beberapa isu yang berlaku disebabkan terlalu berhati-hati atau terlalu terikat dengan pandangan-pandangan lama atau kitab-kitab lama.
“Contoh isu fatwa yang kita memang terlambat berbanding negeri lain ialah berkaitan pelaburan dalam ASB (Amanah Saham Bumiputera) dan ASN (Amanah Saham Nasional).
“Negeri lain seperti Kelantan sudah lama buat (keluarkan fatwa), kita baru dua tahun lepas. Mungkin sebab mufti sebelum saya (Datuk Seri Hassan Ahmad) terlalu cermat dan berhati-hati dalam membuat keputusan.
“Begitu juga dengan isu pelantikan wanita sebagai hakim di Mahkamah Syariah. Kalau nak ikut, negeri lain sudah lama.
“Selangor pun mendahului kita (dalam mengeluarkan fatwa) selama dua bulan sahaja. Sebab kita terlalu berhati-hati,” ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau berharap isu kelewatan mengeluarkan sesuatu fatwa terbabit tidak lagi berlaku pada masa depan demi memberi lebih manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya. –UTUSAN ONLINE










