Polis buru dua lelaki simbah cat di kelab komedi, bank di TTDI

Polis buru dua lelaki simbah cat di kelab komedi, bank di TTDI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian simbah cat di sebuah kelab komedi dan sebuah bank di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.07 pagi itu, satu laporan pada mulanya dibuat seorang lelaki yang juga pekerja di bank mengenai laluan pintu masuk premis berkenaan telah disimbah cat berwarna hitam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, Kejadian berkenaan disedari berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi semasa pengadu dan pekerja lain mahu masuk bekerja di bank berkenaan.

Kata beliau, akibat perbuatan khianat ini telah menyebabkan kerugian sebanyak RM 3,000.

“Tempat kejadian merupakan sebuah bank tempatan yang terletak di sebuah rumah kedai tiga tingkat.

“Semakan rakaman litar tertutup (CCTV) di bank berkenaan mendapati kejadian berlaku pada pukul 4.15 hingga 5.09 pagi hari sama,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Amihizam, siasatan awal mendapati pengadu dalam kes ini tidak mengesyaki sesiapa.

Dalam pada itu, kata Amihizam, satu lagi laporan dibuat seorang lelaki tempatan menyatakan bahawa restoran miliknya iaitu Crackhouse Comedy Club yang terletak di Lorong Rahim Kajai 14, TTDI dekat sini juga telah disimbah cat.

Jelasnya, lantai pintu utama menuju ke tangga restoran berkenaan telah disimbah cat warna hitam dan merah, namun, anggaran kerugian belum dapat dipastikan.

“Melihat kedua-dua kejadian ini, kita dapati dua lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja telah membaling dua plastik berisi cat merah dan hitam ke arah papan tanda kelab komedi berkenaan.

“Namun, sebahagian dari cat hitam yang dibaling ke restoran telah terkena pada pintu utama bank berdekatan,”jelasnya.

Amihizam memberitahu, rakaman CCTV yang diperoleh akan dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk mendapatkan analisa pakar.

“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 2 tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

“Pihak Polis menyeru saksi bebas yang melihat kejadian ini tampil memberikan maklumat dan usaha untuk mengesan suspek yang mungkin terlibat masih diteruskan,” katanya.

Tambah beliau, sebarang maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya