TEMERLOH: Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam sidang Dewan Rakyat semalam berhubung faktor yang mendorong peneroka menguruskan ladang secara individu sebagai tidak tepat dan mengelirukan.
Mustapa menyatakan perkara itu berlaku kerana peneroka tidak ingin berkongsi pendapatan secara blok atau secara peringkat, isu pewarisan, ingin berdikari, isu kekurangan buruh di ladang, tiada kesepakatan waris dan anak-anak peneroka yang kembali ke Felda untuk menguruskan kebun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung GWGF, Mohd. Ismail Masri berkata, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mesra peneroka, pihaknya terpanggil menyanggah kenyataan Mustapa yang bukan sahaja tidak tepat, malah, tidak menyelami denyut nadi masyarakat Felda di negara ini.
“Hal ini kerana terdapat beberapa persoalan yang dikemukakan oleh pihak peneroka yang belum diselesaikan oleh Felda iaitu dokumen perjanjian tanam semula yang berat sebelah dan hanya memberikan kelebihan kepada agensi terbabit, bukan kepada peneroka.
“Ia ditambah pula dengan pengurusan Felda yang tidak efektif dalam menangani isu-isu berkenaan tanam semula dan dokumen perjanjian yang tidak mengikut standard proses penanaman semula sawit,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Ismail berkata, Presiden GWGF, Tan Sri Rozali Ismail membuat perjumpaan empat mata dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh pada 20 September tahun lalu di Wisma Rozali, Shah Alam, Selangor.
Dalam pertemuan itu, katanya, GWGF menyerahkan sendiri cadangan penambahbaikan dokumen perjanjian tanam semula untuk diteliti dan diguna pakai oleh Felda, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh agensi berkenaan.
Beliau berkata, GWGF juga telah menghantar memorandum kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 15 September 2021 tentang isu yang sama tetapi tidak ada sebarang maklum balas berkenaan memorandum tersebut daripada pihak Perdana Menteri.
“Oleh itu, para peneroka yang tidak mahu menyerahkan ladang mereka kepada Felda untuk diuruskan dan ditadbir tidak boleh disalahkan.
“Kita berharap isu tanam semula dan syarat perjanjian ini yang dicadangkan oleh GWGF perlu diteliti serta tindakan segera perlu diambil.
“GWGF akan mengemukakan perkara ini kepada pihak mahkamah jika tiada sebarang tindakan yang diambil oleh Felda,” katanya.
Beliau berkata, pihak juga memohon Mustapa memperbetulkan kenyataan yang dibuat agar tidak mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat dan peneroka-peneroka Felda khususnya serta rakyat Malaysia amnya. –UTUSAN ONLINE