PETALING JAYA: Peperangan Russia-Ukraine dikatakan menjadi punca utama berlakunya inflasi global termasuk di Malaysia dijangka tamat menjelang musim luruh hujung tahun ini.
Sumber pihak Russia memberitahu Utusan Malaysia, Moscow menjangkakan tiga bentuk senario yang menamatkan peperangan itu, iaitu pertama membabitkan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) yang sedang mengalami kekurangan sumber gas serta minyak yang sangat kritikal.
Katanya, dalam keadaan tersebut, Moscow menjangkakan EU tidak mampu bertahan tanpa gas dan minyak menjelang musim luruh, sekali gus memaksa kerajaan blok Eropah itu membuka pintu rundingan antara Russia-Ukraine.
Menurutnya, pada 2021, EU mengimport 155 bilion kubik meter (bcm) gas asli dari Russia yang menyumbang kira-kira 45 peratus daripada import gasnya dan hampir 40 peratus daripada jumlah penggunaan gas di seluruh kesatuan tersebut.
Jelas sumber itu, pihaknya berharap AS dan EU akan menghentikan kempen menyalurkan senjata, askar upahan dan bantuan kewangan kepada Ukraine serta membuka pintu rundingan tanpa menjadikan Ukraine sebagai ‘proksi’ barat semata-mata mahu menjejaskan kedaulatan Rusia.
“Sekarang, EU terputus bekalan sumber gas dan minyak apabila mengenakan sekatan terhadap Russia. Kesannya, berlaku peningkatan mendadak harga bekalan tenaga tersebut.
“Memburukkan keadaan, AS juga sedang mengalami kenaikan harga minyak yang luar biasa, dijangka tidak mampu membekalkan sumber tersebut kepada sekutu di Eropah. Maka, Moscow diramal menggunakan peluang ini sebagai kelebihan untuk menggesa rundingan diadakan dengan EU dan AS bagi menamatkan sekatan ke atas Rusia,” katanya.
Menjelaskan lanjut, sumber itu berkata, senario kedua yang dijangka menamatkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine, sekiranya Russia berjaya membebaskan seluruh wilayah Donbass daripada negara terbabit.
“Sekarang, hampir 90 peratus wilayah Lugansk ditawan tentera Russia, cuma tinggal dua zon terakhir iaitu Sievierodonetsk dan Lisichansk.
“Sementara itu, hampir 50 peratus wilayah Donetsk sudah ditawan. Pihak kami menjangkakan bahawa jika objektif membebaskan Donbass dicapai, maka besar kemungkinan perang dihentikan,” katanya.
Pada masa sama, kata sumber, senario ketiga yang diramal menamatkan operasi ketenteraan pasukan Russia adalah apabila seluruh wilayah pesisir pantai menjajar Laut Hitam, terutama Odessa dapat dibebaskan daripada cengkaman pihak Ukraine.
“Jika keadaan ini berlaku, maka ibu kota pemerintahan Ukraine iaitu Kiev akan menjadi ibarat ‘landlocked’ dan dikepung dari atas dan bawah. Mereka akan terputus laluan dari Laut Hitam untuk mendapatkan bekalan senjata pihak Barat. Dengan itu, Ukraine bukan lagi menjadi ancaman kepada kami,” katanya.
Sejak Russia melancarkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine 24 Februari lalu, ribuan orang awam dan askar terbunuh, malah beribu-ribu lagi menjadi pelarian perang di Eropah. – UTUSAN










