Pemeriksaan mengejut pantau kualiti, harga makanan di sekolah - Utusan Malaysia

Pemeriksaan mengejut pantau kualiti, harga makanan di sekolah

AHMAD Saidi Mohamad Daud (kanan) menyampaikan bantuan alatan pemulihan kepada orang berinsurans, Hasliza Abdul Karim (tengah) di Persiaran Klebang Selatan, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pemeriksaan mengejut yang dilakukan di semua sekolah di negeri ini bertujuan memantau kualiti dan harga makanan yang disediakan pengusaha kantin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, sebanyak 15 buah sekolah diperiksa secara rawak membabitkan empat daerah menerusi inisiatif yang digerakkan sejak April lalu.

Katanya, melalui pemeriksaan mengejut itu, pihaknya merasai sendiri makanan yang dihidangkan kepada pelajar pada hari berkenaan.

“Tujuan pemeriksaan mengejut ini dilakukan adalah untuk memastikan kualiti makanan yang disediakan pengusaha kantin kepada pelajar dalam keadaan baik.

“Selain itu, kita juga mahu memantau harga yang dikenakan pengusaha kantin agar tidak keterlaluan atau berlebihan sehingga pelajar mungkin mengikat perut daripada membeli makanan” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan alatan pemulihan oleh Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prihatin di Persiaran Klebang Selatan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Cawangan Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Pejabat Perkeso Perak, Adibah Mohamed Amin.

Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan harga dan kualiti makanan yang disediakan di mana objektif lain pemantauan itu adalah bagi mengelakkan kes keracunan makanan.

Katanya, pihaknya juga sedang mengadakan perbincangan bersama exco kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk turut serta bagi melihat tahap kebersihan makanan dan ketika proses penyediaan dijalankan.

“Pemeriksaan mengejut itu tidak dimaklumkan kepada pihak sekolah, yang tahu hanya pejabat exco dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sahaja, itupun kita tidak maklumkan mereka sekolah mana yang mahu pergi.

“Saya sendiri makan bersama pelajar sewaktu rehat dan merasai apa yang mereka makan. Saya mahu tahu kualiti makanan yang disediakan.

“Setakat ini, saya berpuas hati dengan kualiti makanan yang diberikan kepada pelajar. Selain membabitkan isu harga dan kualiti makanan, tumpuan kita juga adalah bagi mengelakkan berlaku kes keracunan makanan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN