PATI: Siang kerja kilang, malam jadi nelayan - Utusan Malaysia

PATI: Siang kerja kilang, malam jadi nelayan

ANTARA sangkar ikan yang terdapat di perairan Kerian, Perak, semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Nelayan tempatan meminta Jabatan Imigresen meneruskan operasi menangkap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menjalankan aktiviti sebagai nelayan dan menjaga rumah sangkar ikan atau kelong di perairan Kerian di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang nelayan, Mohd. Radzi, 52, berkata, serbuan Jabatan Imigresen dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen di perkampungan nelayan Kuala Gula di sini Jumaat lalu adalah tindakan yang mendapat pujian nelayan tempatan.

Katanya, dipercayai ramai lagi PATI di daerah Kerian ini dan kebanyakan mereka aktif melakukan kerja penangkapan ikan di perairan Kerian pada waktu malam.

“Pada waktu siang, kebanyakan mereka ini tidur di tempat penginapan yang disewa dan ada yang tinggal di rumah atau tempat penginapan yang disediakan oleh majikan seperti di rumah burung yang ada di tepi laut dan sebagainya.

“Ada juga yang pada waktu siang bekerja di tempat memproses belacan, bekerja di kolam udang dan di ladang kelapa sawit berhampiran namun di sebelah malam aktif turun ke laut,” katanya.

Nelayan itu mendedahkan, PATI akan mula turun ke laut waktu malam antara pukul 8.30 malam ke atas apabila mendapati agensi penguat kuasa tidak membuat rondaan di laut.

“Pada masa itulah mereka ini akan menggunakan alat penangkapan ikan yang tidak dibenarkan seperti penggunaan pukat Apollo, bubu naga untuk menangkap ikan di bawah batu nautika yang dibenarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

“Sebab itu kita lihat laporan-laporan berita mengenai tangkapan penggunaan bubu naga dan pukat sorong atau Apollo oleh kebanyakan warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah di samping tidak mempunyai permit kerja untuk mengendalikan bot,” katanya.

Radzi menambah, PATI yang bekerja di darat pada waktu siang akan bermalam di sangkar-sangkar ikan atau kelong yang berdekatan bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa dan siang keesokannya akan kembali ke darat untuk bekerja.

Katanya, tindakan Jabatan Imigresen baru-baru ini disambut baik oleh nelayan dan perlu dilakukan lebih kerap bagi membasmi keseluruhan PATI yang terdapat di Kerian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN