KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menyuarakan kekesalan dan kesedihannya akan tindakan segelintir ahli Parlimen pembangkang yang didakwa tidak menghormati Bentara yang ditugaskan mengiringi seorang wakil rakyat keluar daripada sidang dewan semalam.
Ia berhubung keputusan timbalannya, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang menghalau keluar Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majlis dan menggantung persidangannya dua hari akibat mempersoal usul tuntutan Sulu yang ditolak tiga kali.
Azhar Azizan berkata, ahli-ahli Parlimen sepatutnya menunjukkan teladan kepada golongan muda merujuk kepada Bentara yang hanya melakukan tanggungjawab seperti diarahkan.
“Saya tengok bentara dua orang muda-mudi kita yang bekerja di Parlimen, berdiri di situ 40 minit tidak dihormati langsung.
“Tidak hormat saya tidak apa, saya Speaker, saya boleh terima. Itu hidup saya, tugas saya. Tapi hormatlah muda mudi kita sebagai Bentara. Mereka bekerja sahaja.
“YB Padang Serai (M. Karupaiya selalu kata bekas tentera kita tidak dihargai. Kenapa tidak dihargai bentara kita yang muda muda itu? Apa petanda yang kita nak tunjuk kepada rakyat sebenarnya?,” katanya dalam nada yang tegas di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamed Hanipa Maidin (PH-Amanah) kemudian menyalahkan Azhar Azizan yang rakyat juga berasa ‘sedih’ kerana beliau dan timbalannya tidak memberi pembangkang ruang bersuara di Dewan Rakyat.
Azhar Azizan bagaimanapun membidasnya bahawa rakyat bukan melihat beliau seorang namun termasuk Mohamed Hanipa sendiri.
“Saya selalu beri kelonggaran. Tetapi lunas-lunas adab kita, janganlah kita tinggalkan, tidak elok. Ini budak budak bentara yang kerja dengan kita. Apa sahajalah kuasa dia,” katanya.
Semalam, Isnaraissah dihalau keluar Dewan Rakyat dan digantung dua hari berikutan tindakannya mempersoal usul yang ditolak tentang tuntutan Sulu.
Beliau mempersoal tahap yang membolehkan supaya usul itu dibahas di Dewan Rakyat kerana isu tuntutan Sulu melibatkan kedaulatan negara dan negeri Sabah, ketika usul tersebut telah ditolak tiga kali. –UTUSAN ONLINE










